Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis panggil ketua Pemuda PH isu serah memo anti-Israel

Polis telah memanggil Ketua Pemuda Pakatan Harapan Shazni Munir Mohd Ithnin berhubung penyerahan memorandum ke Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Shazni pada satu kenyataan berkata dia dihubungi oleh polis daerah Wangsa Maju untuk merakam keterangan mengenai memorandum yang meminta AS memastikan gencatan senjata antara rejim Zionis Israel dan Hamas Palestin dihormati.

"Justeru saya akan hadir pada hari ini (Jumaat), jam 2.30 petang untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis," kata Shazni yang juga ketua Pemuda Amanah.

Susulan gencatan senjata itu yang menghentikan sementara konflik di Gaza, Pemuda PH telah mengumumkan tunjuk perasaan secara terbuka pada 21 Mei terhadap kekejaman Israel.

Rancangan tersebut kemudian diubah menjadi bantahan 10 orang saja dan penyerahan memorandum.

Pun begitu, polis cuma membenarkan dua wakil kumpulan itu yang berkumpul di Jalan Tun Razak - Shazni dan bekas naib ketua AMK, Syed Badli Shah Syed Osman - untuk meneruskan penyerahan memorandum tersebut.