Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Rakyat hanya mahu makan

ULASAN | Setakat 1 Julai 2021 belum ada tanda-tanda menunjukkan keadaan di Malaysia akan pulih walaupun sudah hampir dua tahun kita melawan kuman dari Wuhan itu.

Ia berlaku ketika Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha, terbang ke Phuket untuk meraikan kedatangan lebih 200 pelancong asing. Ia adalah salah satu proses pemulihan yang ketara untuk negara itu.

Pada ketika yang sama kita di sini masih bergelut untuk meneruskan kehidupan.

Bermula dengan 'misteri' kedudukan 150,000 komputer riba untuk pelajar hingga kegagalan menyalurkan bantuan, atau terpaksa bersusah-payah mencari capaian internet, semuanya suatu pameran tentang kegagalan kerajaan.

Bagaimana reaksi Putrajaya bagi menguruskan isu rakyat. Ada, misalnya menubuhkan jawatankuasa.

Tidak seperti kegagalan dan kelembapan kita, di Eropah pula rakyatnya sedang bergembira meraikan kehangatan pesta bola Euro 2020 yang kini memasuki peringkat suku akhir.

Tiada rasa yang dapat dizahirkan ketika melihat 30,000 penonton bersorak dalam stadium ketika kita terkurung 30 hari dan hanya mampu menjerit di depan TV di dalam rumah.

Tapi itulah, kita memang handal bersorak dari jauh. Dan kita juga juara untuk menyalahkan semua orang kecuali diri sendiri.

Setakat 29 Jun lalu Malaysia mencatat lebih 17 peratus vaksinasi untuk 1 dos, manakala Kemboja pula 24.9 peratus. Syabas kepada program vaksinasi kita yang berjaya dengan cemerlang.

Kemboja juga melaksanakan program vaksin ke atas penduduknya tanpa gimik atau propaganda yang besar seperti kita ketika sebahagian daripada penduduknya tinggal di kawasan tanpa kemudahan air yang baik atau bekalan elektrik seperti kita.

Kemudian datanglah inisiatif #BenderaPutih sebagai respons spontan rakyat dalam suasana tidak menentu ini.

Tapi entah kenapa inisiatif rakyat ini bagaikan taburan kaca ke kulit sesetengah pemimpin. Sudahlah tidak membantu, gerakan dijalankan rakyat untuk membantu rakyat itu dikritik pula.

Apakah seharusnya rakyat pasrah berbaring melayan derita kelaparan di rumah sambil menadah tangan berdoa kepada pemimpin?

Juara media sosial

Rakyat lebih memahami nadi denyut derita ini kerana merekalah yang merasainya ketika pemimpin menjamah santapan mi segera demi hantaran media sosial.

Sedarkan mereka bahawa sesetengah rakyat mungkin terpaksa berkongsi sebungkus mi segera untuk mengisi perut satu keluarga?

Matlamat apa yang dikejar pemimpin? Berlumba menunjukkan siapa paling gagal atau siapa yang paling kaya?

Rakyat hanya ingin isi perut dan mulut tanggungannya sahaja. Bendera apa pun tidak memberi kenyang. Pemimpin hanya banyak berjanji. Sambil-sambil itu mereka memohon rakyat menghubunyi wakil rakyat - dan bukannya menaikkan bendera - ketika sesetengah orang mungkin tidak memiliki telefon pun.

Malah ada yang berlumba menjadi juara media sosial ketika jutaan yang lain masih menanti-nanti nama mereka dipanggil untuk divaksin.

Berdosakan pemimpin mencemarkan kasut ribuan ringgit masing-masing untuk masuk ke kampung-kampung sebelum datangnya musim berkempen untuk pilihan raya?

Kini rakyat bangkit mengangkat bendera. Tanpa sebarang unsur bermusuh atau mencari masalah. Mereka hanya mahu mencari makan.


SHAMZ JOHAN ialah seorang aktivis rakyat miskin bandar di Kuala Lumpur.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.