Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selang dos vaksin AstraZeneca disingkatkan jadi 9 minggu - KJ

Kerajaan telah memutuskan untuk singkatkan selang dos vaksin AstraZeneca Covid-19 kepada sembilan minggu, berbanding 12 minggu sebelumnya.

Malaysia memulakan pemberian vaksin itu pada 5 Mei, yang bermaksud penerima vaksin paling awal akan layak mendapat dos kedua pada 7 Julai dan bukannya pada 28 Julai.

"Jadi mereka yang mengambil bahagian dalam pusingan pertama AstraZeneca pada bulan Mei akan segera mendapat pemberitahuan mengenai janji temu mereka," kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) Khairy Jamaluddin.

Dia bercakap dengan pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini setelah menerima satu juta dos vaksin yang disumbangkan oleh Jepun.

Keputusan untuk memendekkan selang dos dibuat berdasarkan cadangan oleh jawatankuasa teknikal JKJAV minggu lalu dan sumbangan vaksin kerajaan Jepun yang tiba hari ini, katanya.

Sebelum ini, kerajaan telah memutuskan selang 12 minggu untuk dos AstraZeneca bagi memberikan perlindungan sebahagian terhadap Covid-19 kepada sebanyak mungkin orang dalam waktu singkat. Ini menjadikannya selang dos terpanjang di antara vaksin yang digunakan di Malaysia.

Selang yang lebih lama juga dikaitkan dengan keberkesanan vaksin yang lebih tinggi setelah dos kedua diberikan, berbanding dengan selang waktu yang lebih pendek.

Walau bagaimanapun, JKJAV kemudiannya singkatkan selang pemberian dos kedua memandangkan penularan varian Covid-19 yang menjadi kebimbangan, terutama varian Delta.

Semalam, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam ciapan di Twitter berkata bahawa satu dos kedua-dua vaksin itu hanya memberikan perlindungan 33 peratus terhadap gejala yang disebabkan oleh varian Delta Covid-19.

Dengan dua dos, perlindungan bertambah kepada 88 peratus untuk vaksin Pfizer dan 60 peratus untuk vaksin AstraZeneca.

Sementara itu, Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 mengatakan bahawa jawatankuasa teknikal JKJAV mendapati bahawa selang sembilan minggu yang dipendekkan masih mengekalkan "keberkesanan maksimum yang sama untuk memberikan perlindungan yang sesuai untuk penerima vaksin".

"Sebagai catatan, selang antara dos pertama dan kedua vaksin AstraZeneca masih sesuai dengan panduan yang dikeluarkan oleh pengeluar AstraZeneca itu sendiri, iaitu empat hingga 12 minggu," katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai rekod, kebanyakan kes Covid-19 di Malaysia adalah salah satu varian Beta, atau tidak diklasifikasikan sebagai varian yang menjadi kebimbangan.

Bagaimanapun, beberapa kes varian Delta didapati tular di dalam negara.

Varian ini, yang pertama kali dikesan di India, dikatakan lebih mudah ditularkan daripada varian Alpha(yang juga mudah menular) dan dikaitkan dengan penyakit yang lebih teruk.

Mengenai rancangan untuk memvaksinasi remaja, Khairy mengatakan dia akan mengeluarkan kenyataan bersama dengan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pada esok atau awal minggu depan.

"Ada beberapa perkara teknikal yang perlu diteliti terlebih dahulu.

"Keputusan telah dibuat, tetapi untuk pengumuman, kami akan mengeluarkan kenyataan bersama," katanya.