Penganjur: Hartal doktor kontrak tak jejas perkhidmatan kesihatan
Penganjur hartal pegawai perubatan kontrak memberi jaminan bahawa rancangan mereka untuk tidak berkhidmat selama sehari tidak akan menjejaskan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Ini kerana mereka akan disokong oleh pegawai perubatan lain yang dapat menampung tugasan, kata jurucakap kumpulan itu, Dr Mustapha Kamal A Aziz.
Mustapha berkata, hartal seluruh negara pada 26 Julai ini adalah jalan terakhir jika semua usaha untuk berunding dengan kerajaan berhubung desakan mereka gagal.
"Kita telah pun kata yang kita akan bersama-sama ketua jabatan dan pengarah hospital, untuk memberi mesej yang ini adalah rancangan kita.
"Tetapi ia bergantung kepada respons daripada kerajaan. Hartal sebenarnya jalan terakhir kami," katanya dalam sidang media dalam talian hari ini.
"Sebab itu kita beri tempoh tiga minggu kepada kerajaan. Tetapi jika mereka tidak beri maklum balas, maka maaflah kita terpaksa lakukannya.
"Ini untuk kebaikan penjagaan kesihatan negara," katanya lagi.
Katanya lagi, mereka tidak akan berganjak daripada desakan yang dihantar kepada kerajaan hari ini, termasuk agar lebih 20,000 doktor kontrak yang direkrut sejak 2016 diberi jawatan tetap.
Dia juga memberi peringatan yang hospital kerajaan berdepan risiko kekurangan pakar dengan bilangan terhad pegawai perubatan kontrak yang diambil kerja dan ditawarkan biasiswa untuk menyambung pengajian selepas kontrak lima tahun tamat.
Pada masa ini, mana-mana pegawai kontrak yang tamat tempoh itu perlu mencari dana sendiri untuk menyambung pengajian dalam mana-mana bidang kepakaran.
Sementara itu, ahli jawatankuasa penganjur Dr Fauzi Rahim menyuarakan keyakinan sama bahawa pegawai perubatan yang ingin menyertai hartal boleh berbincang dengan rakan sekerja lain yang bertugas.
"Di hospital, ada doktor pakar, perunding, pegawai perubatan tetap dan kontrak serta doktor pelatih.
"Kami ramai. apa yang kita buat adalah kami boleh merancang dengan mereka dan aturkan jadual bertugas agar mereka 'cover' kita (dalam tugasan)," kata Fauzi.
"Sekarang pun kami dapat lihat ramai doktor pakar dan perunding di pihak kami. Mereka terima rancangan kami dan kata 'teruskan, kami boleh cover anda'," katanya lagi.
Katanya lagi, jika rancangan itu diteruskan, ia tidak akan memberi impak terlalu buruk kepada operasi hospital, terutama di tengah-tengah wabak Covid-19, tetapi ketiadaan pegawai perubatan kontrak akan dirasai kakitangan tetap lain yang bertugas.
'Bukan untuk jejaskan hospital Covid-19'
Mustapha juga menjamin pihak penganjur akan berusaha sedaya upaya untuk tidak melibatkan doktor di hospital yang menempatkan jumlah pesakit Covid-19 yang ramai.
Ditanya berkenaan risiko tindakan disiplin terhadap kakitangan kontrak yang memberi sokongan, Mustapha berkata penganjur telah menyediakan pasukan peguam jika ada yang dikenakan tindakan.
Semalam, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba meminta pegawai perubatan kontrak agar bertenang dan berjanji permintaan mereka akan dibawa ke Kabinet.
Bagaimanapun, kata Mustapha, sudah lima tahun berlalu sejak pegambilan pegawai perubatan kontrak yang pertama - mula diumumkan perdana menteri ketika itu, Najib Razak ketika belanjawan 2017 - tetapi tiada rangka tindakan jangka panjang mahupun pendek berkenaan masa depan mereka dalam sektor kesihatan awam.
"Jika anda ada masalah yang tidak selesai selama lima tahun, apa perasaan anda?"
Katanya lagi, tiada kriteria jelas untuk pengambilan pegawai perubatan kontrak sebagai kakitangan tetap, dengan kadar yang rendah iaitu 789 daripada 23,077 orang yang mendapatnya sejak 2016.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menjarakkan diri daripada rancangan hartal tersebut tetapi Mustapha berkata pihaknya dan para penyokong akan terus menyokong kempen solidariti dalam talian "Code Black" yang bermula hari ini sehingga 12 Julai nanti.
"Apa yang baik untuk kami, kami akan sokong," katanya lagi.
Antara doktor yang menyuarakan sokongan terhadap kempen ini termasuk pakar perunding pediatrik Dr Musa Nordin dan pakar nefrologi Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai