Isu pegawai kontrak: MMA minta sokongan ramai, berpakaian hitam
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta orang ramai agar menunjukkan sokongan terhadap penderitaan pegawai perubatan kontrak dalam tunjuk perasaan dalam "Code Black" yang diadakan seacara dalam talian.
Presidennya Dr Subramaniam Muniandy meminta agar gambar profil di akaun media sosial ditukar menjadi hitam atau monokrom, bermula 1 Julai hingga 12 Julai.
Dia juga meminta agar syarikat, institusi dan perusahaan untuk melakukan perkara yang sama.
Selain itu, dia berkata bahawa orang ramai boleh melayari laman media sosial MMA untuk maklumat terkini berkenaan perkara itu dan membantu menyebarkan maklumat berkenaannya.
Protes secara maya itu merupakan inisiatif MMA menjelang hartal yang dirancang oleh satu lagi kumpulan doktor kontrak pada 26 Julai. MMA bagaimanapun menjarakkan diri daripada hartal itu.
Sementara itu, Subramaniam berkata pada 12 Julai, yang digelar sebagai "Black Monday", orang ramai boleh menunjukkan sokongan mereka dengan memakai warna hitam di tempat kerja.
Dia juga meminta mereka untuk berkongsi gambar memegang sepanduk tertera "Kami bersama dengan pegawai perubatan kontrak" dengan tanda pagar #saveMYcontractHCW #BlackMondayMY #CodeBlackMY.
Menurut Subramaniam, pemakaian warna hitam antara lain untuk meratapi hilangnya bakat muda tempatan di tangan negara lain.
"Untuk mengiktiraf penderitaan yang dihadapi kakitangan perubatan kontrak di Malaysia.
"Code Black (kod hitam) - adalah kod kecemasan hospital yang menunjukkan ancaman terhadap kakitangan - dalam hal ini, ancamannya kepada pegawai perubatan kontrak.
"Kami memerlukan bantuan dan sokongan orang ramai. Tolong sertai kami," katanya lagi.
Kami tiada jaminan kerja, pengembangan kerjaya - Penganjur doktor hartal
Pegawai perubatan diberi ingatan risiko tindakan jika sertai hartal
Maklum berkenaan respons kerajaan terhadap masalah yang berkaitan dengan pegawai perubatan kontrak, Subramaniam berkata sudah hampir lima tahun berlalu sejak kumpulan doktor kontrak pertama mula diambil bekerja, iaitu pada Disember 2016.
Katanya lagi, pandemik Covid-19 telah menjejaskan sistem penjagaan kesihatan dan menunjukkan betapa pentingnya doktor kontrak.
"Banyak pertemuan diadakan, surat-surat dihantar, dan kenyataan dibuat dan masih belum ada jawapan yang jelas daripada kerajaan mengenai masa depan dan kebajikan kakitangan kesihatan.
"Terdapat 23,077 doktor kontrak sejak 2016 tetapi hanya 789 yang diberi jawatan tetap dalam perkhidmatan kesihatan awam.
“Selama hampir lima tahun, kakitangan perubatan kontrak telah meminta jalan kerjaya yang jelas serta pascasiswazah untuk menjadi pakar, kriteria yang telus dan terperinci untuk jawatan tetap, layanan sama rata dan saksama antara kakitangan tetap dan kontrak serta jaminan keselamatan kerja untuk semua doktor dan kakitangan penjagaan kesihatan yang lain.
"Doktor kontrak, yang kebanyakannya terlibat secara langsung sebagai barisan hadapan dalam memerangi Covid-19 telah sekian lama menghadapi ketidakpastian mengenai masa depan mereka. Oleh itu kami meminta semua rakyat Malaysia untuk menunjukkan sokongan kepada mereka," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai