Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Zafrul: M'sia akan semak semula unjuran KDNK susulan PKP

Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2021 akan disemak semula menurun, mengambil kira impak daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

"Unjuran baru itu dijangka diumumkan pada pertengahan Ogos, bersama dengan angka defisit,” katanya pada satu sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengunjurkan pertumbuhan KDNK 2021 negara berada dalam jajaran antara 6.0 peratus dan 7.5 peratus.

“Kami kini sedang mengkaji impak PKP ketika ini di bawah Fasa 1, 2, 3 dan 4 Pelan Pemulihan Negara.

“Fasa 4 mungkin mempunyai impak yang sedikit ke atas KDNK susulan pengenalan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih),” katanya.

Tengku Zafrul berkata kerajaan yakin pelaksanaan Pemulih, yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam, boleh meningkatkan KDNK sebanyak dua peratus.

Mengenai suntikan fiskal langsung sebanyak RM10 bilion di bawah Pemulih, dia berkata dana itu diperoleh daripada peningkatan hasil kerajaan, sebahagiannya daripada dividen tinggi daripada badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan, pengoptimuman perbelanjaan dan peningkatan pinjaman.

-Bernama