Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Buka parlimen bukan cerita menengok anak bulan

Junjung kasih, Tuanku.

Alhamdulillah, keputusan telah dibuat supaya persidangan parlimen diadakan secepat mungkin.

Pasti tarikhnya perlu secepat yang dibolehkan oleh peraturan dan peruntukan undang-undang sedia ada.

Ia bukan bermakna tarikh yang perdana menteri, atau mana-mana ahli politik menganggapnya sesuai, sudah bersedia, atau apa juga alasan untuk melengahkan persidangan parlimen.

Rakyat tidak ingin mendengar alasan-alasan dan jangkaan lagi.

Pihak yang berwibawa dan memahami undang-undang dan peraturan berkaitan persidangan parlimen pasti dapat menghitung dengan tepat tarikh yang seawal-awalnya untuk parlimen bersidang.

Ini bukan cerita "menengok anak bulan", atau perdana menteri "belum bersedia". Peraturan-peraturan tidak boleh diketepikan.

Lagipun, secara fizikal, ruang parlimen untuk perbahasan dilengkapi dengan sekatan-sekatan plastik dan para YB perlu memakai pelitup mulut dan hidung serta tidak merayau-rayau dalam bangunan parlimen.

Pasti YB kita boleh berdisiplin dan mematuhi semua standard operasi piawai (SOP) yang sedia ada. Rakyat melihat setiap kelakuan dan gelagat kita!

Banyak isu dan perkara yang perlu dibahaskan oleh ahli-ahli parlimen, antara lain:

  • Perbelajaan beratus ribu juta (beratus bilion!) yang sudah dibelanjakan dan akan dibelanjakan Kesan perbelanjaan yang sangat-sangat besar itu.

  • Cadangan menaikkan had siling hutang negara dan apa implikasinya.

  • Membahas rancangan pemulihan negara dari aspek ekonomi, sosial dan kesihatan, pendidikan, Membahaskan ketahanan negara dalam konteks saingan dan keupayaan untuk menghadapi cabaran pasaran.

Ini semua mesti serentak dengan usaha berterusan menangani pandemik Covid-19, vaksinasi dan lain-lain langkah yang sewajarnya.

Pelan itu bukan semata-mata rancangan "pemulihan Covid-19"!

Rakyat menunggu kerajaan bertindak dengan integriti, amanah, jujur dan dengan penuh tanggungjawab.

Begitu ramai rakyat yang menghadapi pelbagai masalah.

Setakat ini langkah-langkah yang telah diambil tidak berkesan seperti diharapkan, terutamanya kerana tidak komprehensif, tiada analis keberkesanan setiap "pakej"serta tidak memberi apa-apa pencerahan tentang cara dan hala keluar untuk memulihkan negara selepas pandemik.

Janganlah berlengah-lengah lagi.

Mulakan proses bagi membolehkan persidangan parlimen secepat mungkin, iaitu dengan segera.

Jangan ditunggu sehingga negara dan rakyat sampai ke tahap nyawa-nyawa ikan, baru hendak melakukan apa yang sewajarnya.

Rakyat memerlukan pentadbiran negara yang cekap, bersih, dan betul-betul faham keperluan rakyat!

Dirgahayu Tuanku.


RAFIDAH AZIZ ialah bekas menteri perdagangan dan industri antarabangsa dari 1987 ke 2008.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.