Pemilihan Umno sah ditangguhkan hingga 18 bulan
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan hari ini mengesahkan parti itu akan menangguhkan pemilihan jawatan di semua peringkat selama 18 bulan bermula 30 Jun 2021.
Menurut Ahmad keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan Majlis Tertinggi (MT) Umno.
"Keputusan ini selaras dengan Fasal 10.16 Perlembagaan Umno iaitu MT berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MT, bahagian dan cawangan.
"Penangguhan ini tidak boleh lebih dari 18 bulan dari pemilihan yang sepatutnya ia diadakan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini terdapat beberapa tokoh dalam Umno yang menggesa pemilihan diadakan segera.
Antara yang telah menyuarakan pandangan itu adalah Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan bekas menteri besar Perlis Shahidan Kassim.
Dengan keputusan MT Umno itu Ahmad Zahid Hamidi akan terus memimpin parti itu sebagai presiden sekurang-kurangnya untuk tempoh 18 bulan lagi.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata bahawa dia sendiri menemui dan menulis surat kepada pihak yang berkenaan mengenai pemilihan parti yang sepatutnya diadakan pada 30 Jun sesuai dengan tempoh tiga tahun dari pemilihan sebelum ini.
Sukar dijalankan serentak
Katanya pihak yang ditemui bagi menjelaskan keadaan dihadapi Umno ialah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Inti pati surat jawapan daripada KKM dan MKN mencadangkan agar mesyuarat dan pemilihan Umno dibuat secara maya.
"Namun, disebut juga dalam surat KKM dan MKN sekiranya tidak boleh dibuat secara maya, maka pemilihan perlu ditangguhkan sehingga ke satu tarikh dan keadaan apabila pandemik Covid-19 terkawal," katanya.
Untuk rekod, terdapat 66,287 mesyuarat dan pemilihan cawangan Umno perlu diadakan melibatkan kehadiran seramai 3.3 juta ahli.
Selain itu, terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian yang terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat di bahagian, wanita, pemuda dan puteri.
"Semua ini mesti dijalankan segera serentak dalam tempoh dua hujung minggu.
"Tentunya sukar persidangan perwakilan bahagian empat peringkat diadakan secara serentak dalam keadaan wujudnya kawasan yang dikenakan PKP, PKPB atau PKPD," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai