Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemain industri pelancongan gesa dibenar beroperasi pada Fasa 2

Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MAATFA) mendesak kerajaan agar industri pelancongan dan perhotelan dibenarkan kembali beroperasi semasa Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, persatuan itu mengatakan taman tema, pusat hiburan keluarga, taman permainan, spa kesihatan, pawagam dan tarikan keluarga harus dilayan sama seperti pusat beli-belah, resort dan hotel yang dibenarkan beroperasi di Fasa 2.

Mereka mengatakan bahawa ini diperlukan kerana pendapatan industri pelancongan turun 80.9 peratus pada tahun 2020 dan dengan demikian menjejaskan ekonomi negara.

Kata persatuan itu, industri pelancongan adalah penyumbang ketiga terbesar untuk KDNK pada 2018 - sekitar 13.1 peratus hingga 14.2 peratus - dan merupakan sumber pekerjaan utama - sekitar 3.6 juta atau 23.6 peratus daripada keseluruhan pada tahun 2019.

Sementara itu, persatuan itu juga mendesak kerajaan untuk membenarkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menangani skim Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana.

Walaupun persatuan itu mengucapkan terima kasih atas skim tersebut, mereka menyatakan bahawa ia tetap merupakan inisiatif berimpak rendah berdasarkan Laporan Pelaksanaan dan Penyelarasan Rangsangan Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) terkini.

"Hanya 6.5 peratus dari RM1 bilion yang digunakan. Pada 4 Jun, ada 666 permohonan untuk pembiayaan ini, dan dari jumlah tersebut, 327 permohonan telah dipersetujui dengan jumlah dana RM65.1 juta.

"Kami mencari program yang mudah untuk dikendalikan dan diedarkan oleh satu agensi di bawah Motac. Pada masa ini, skim ini dikendalikan oleh 12 bank komersial dan pembangunan. Kami memerlukan pengurusan tunggal untuk dana ini," kata persatuan itu.

Persatuan itu juga mendesak kerajaan untuk membekukan semua syarat berkanun untuk industri pelancongan - pembaharuan lesen tahunan, pemeriksaan kenderaan, bayaran berhenti, caruman KWSP dan cukai perkhidmatan, antara lain - untuk tahun 2021.

Terakhir, persatuan tersebut mendesak kerajaan untuk berunding dengan pemain industri pelancongan mengenai protokol Covid-19, seperti waktu operasi, kapasiti dan langkah-langkah lain.

"Kerajaan harus memaksimumkan potensi MySejahtera dan Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) untuk tindakan proaktif. HIDE perlu lebih telus dengan rakyat mengetahui parameter apa yang diukur.

"Tidak boleh bersifat menghukum, melainkan diberi insentif untuk digunakan. Biarkan Motac menjadi kementerian penopang inisiatif ini," kata persatuan itu.