Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Makan di kafe: Polis ambil keterangan Tok Pa dan pegawai

Polis sudah mengambil keterangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed dan tiga individu lain susulan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika mengunjungi sebuah kafe di Kampung Kalai, Jeli, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Jeli, DSP Ahmad Arifin berkata, keterangan anggota Parlimen Jeli itu dan dua pegawainya diambil semalam, manakala pemilik kafe dipanggil kelmarin.

"Kita sudah mengambil keterangan Datuk Seri Mustapa dan tiga individu itu. Siasatan kita juga sudah selesai.

"Kes sudah dirujuk kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan susulan sama ada akan dikompaun atau dituduh di mahkamah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Malaysiakini semalam melaporkan Mustapa yang juga dikenali sebagai Tok Pa disiasat kerana melanggar SOP apabila makan di sebuah kedai makan

Susulan itu juga pejabat menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, Mustapa turut menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Dia turut mengakui kesalahan itu dan memohon maaf.

Sementara itu Ahmad berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.