Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tahanan meninggal: Peguam gesa bedah siasat menyeluruh

Seorang pemandu van yang ditahan di Penjara Sungai Buloh selama sembilan bulan sementara menunggu perbicaraan kes bunuhnya, meninggal dunia di sebuah hospital semalam, menurut M Manoharan, peguam yang mewakili keluarga mangsa.

Menurut Manoharan, mangsa meninggal dunia di sebuah hospital selepas dibawa ke situ untuk mendapatkan rawatan sakit perut dialaminya, semalam.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, dia mendesak agar satu bedah siasat (post-mortem) menyeluruh dijalankan ke atas mayat mangsa, Mohd Iqbal Abdullah, 29.

“Saya mahu bedah siasat menyeluruh untuk memastikan dua dakwaan dera dan kekerasan (assault) ke atasnya - pertama oleh pegawai polis semasa penahanannya pada September 2020, dan kemudiannya oleh seorang warden (penjara) dua ke tiga bulan lepas,” kata Manoharan.

Iqbal, ayah kepada dua cahaya mata itu tinggal di Selayang, Selangor, didakwa dengan tuduhan bunuh bersama 20 yang lain termasuk dua abangya, dua minggu selepas direman.

Kata Manoharan, mangsa mengadu sakit perut sejak itu.

Selepas dimaklumkan mengenai kematian Iqbal, keluarganya menerima satu panggilan telefon dari Penjara Sungai Buloh, daripada seorang rakan banduan yang mereka kenali, yang sempat melihat Iqbal sebelum dia dihantar ke hospital, kata Manoharan.

“Banduan itu berkata dia nampak Iqbal berkerusi roda di klinik penjara pagi semalam. Katanya, Iqbal dikejarkan dari penjara ke Hospital Tanjung Karang untuk janji temu yang dijadualkan semula dengan seorang pakar untuk masalah perutnya.," katanya.

Menerusi perbualan telefon itulah keluarganya mendapat tahu yang Iqbal mendakwa didera dan dipukul pada September 2020 dan tiga minggu lalu.

“Iqbal mengadu sakit perut setiap kali dibawa ke mahkamah (di mana keluarganya bertemunya). Kali terakhir isterinya melihat Iqbal adalah pada Februari 2021. Dia (isteri) berkata berat badan Iqbal susut, dia lemah dan tak bermaya,” katanya lagi.

“Keluarga percaya yang dia dipukul,” katanya lagi.

Abang Iqbal, berusia 31 dan 32, ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959, kini di Penjara Pokok Sena.

Satu laporan polis dibuat isteri Iqbal, Nursyamsiah Yakathali, 28, semalam ke atas pegawai penyiasat, penjara dan hospital yang mengabaikan perhatian perubatan terhadap suaminya.

Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, Nursyamsiah mendakwa suaminya, yang menderita masalah buasir dan berada dalam keadaan kesihatan yang serius, tidak diberikan rawatan perubatan dengan segera.

Menurutnya, Iqbal dipindahkan dari Hospital Sungai Buloh ke Hospital Tanjung Karang, namun dia diberitahu seorang doktor di Hospital Tanjung Karang bahawa suaminya hanya akan menerima rawatan lanjut pada 20 Jun.

Nursyamsiah berpandangan tarikh untuk rawatan lanjut itu terlalu lambat dan boleh menyebabkan keadaan kesihatan suaminya menjadi lebih teruk.

Dalam satu kenyataan semalam, Manoharan menggesa ketua pengarah Jabatan Penjara Malaysia Ibrisam Abdul Rahman untuk meletakkan jawatan dalam kadar segera atas dakwaan layanan tidak berperikemanusiaan oleh pihak berkuasa penjara sejak Iqbal ditahan pada 28 Sep 2020.

“Saya turut menggesa pemecatan seorang pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak atas penahanan yang salah … menurut isterinya direka-reka oleh polis dan tidak pun dilakukan suaminya.

“Saya menggesa Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun untuk melihat kes-kes pembunuhan belum selesai di mahkamah yang ditangguhkan secara tidak wajar atas permintaan timbalan pendakwa raya atas alasan yang lemah,” katanya.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi pihak polis dan jabatan penjara untuk mendapatkan maklum balas mereka.

[Baca laporan asal]