'Kalau saya boleh buat, orang lain pun pasti boleh'
Dilahirkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) tidak menjadi penghalang buat seorang pemuda untuk terus mencari rezeki bagi menyara kehidupannya ketika negara kini dilanda wabak Covid-19.
Daniel Cheng, 30, seorang OKU yang berkerusi roda dan berstatus anak yatim mendapat perhatian orang ramai apabila gambar jualannya tersebar di dalam media sosial beberapa hari lalu.
“Sejak bayi saya telah dikategorikan sebagai Cerebral Palsy dimana gangguan yang mempengaruhi kemampuan seseorang untuk bergerak dan mengekalkan keseimbangan dan postur tubuh bermakna satu tangan juga kaki saya tidak kuat,” kata Daniel.
Daniel yang bekerja sepenuh masa di bahagian pemasaran digital di Cybernetics International College berkata, dia mula menjalankan perniagaan dalam talian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan tahun lalu.
Perniagaan yang dijalankan ini merupakan pekerjaan sambilan kerana kekangan untuknya bekerja pada waktu pandemik serta bagi mencari pendapatan tambahan untuk menampung kos kehidupannya.
“Semasa mula PKP, tiada kerja nak di buat jadi saya terfikirlah nak buat apa takkan saya nak duduk di rumah sahaja. Jadi, dari situ saya terlintas untuk mula berniaga secara dalam talian.
“Keadaan sekarang ni saya sedang menjual biskut, kerepek dan pelitup muka bagi menampung kehidupan seharian saya dan mencari nafkah lebih.
“Mulanya memang agak sukar tapi lama-kelamaan sudah okay. Minggu pertama, minggu kedua memang tiada jualan tapi apabila sudah masuk pertengahan minggu kedua baru saya dapat pesanan dari pelanggan,” tambah Daniel.
Ketika ditemu bual Malaysiakini baru-baru ini, Daniel juga berkata, dia dibantu oleh seorang sahabat karibnya, Muhammad Zafri Zainal Abidin yang juga merupakan rakan serumahnya.
“Saya ada sahabat yang sokong saya dan banyak memberi motivasi kepada saya. Dia lah juga yang banyak membantu saya waktu sebegini.
“Jualan ini bukan sahaja dapat membantu saya untuk menampung bil-bil saya tetapi turut dapat menambah modal jualan saya jadi saya sangat berbesar hati jika ramai orang boleh menyokong perniagaan saya,” jelas Daniel.
Kekurangan diri tidak menjadi beban buat Daniel kerana mampu untuk berdikari dengan meniaga secara atas talian dengan hanya menggunakan platform Twitter dan Facebook. Kisahnya ini telah dikongsikan oleh Daniel sendiri di akaun Twitternya @DanielCheng.
Tambahnya lagi, dalam kehidupan mestilah kena sentiasa positif dan berpandangan jauh serta tidak boleh mudah berputus asa kerana kehidupan tetap kena diteruskan.
“Bagi saya, kehidupan ini susah macam mana pun tetap kena diteruskan. Kalau rasa susah tu, ujian itu semua memang ada tapi kita kena hadap. Kalau kita tidak tolong diri sendiri tidak akan ada orang lain nak tolong kita,” jelas Daniel.
Pemuda itu menambah lagi dengan memberi pesanan kepada masyarakat bahawa duit itu tidak jatuh dari langit. Bagi yang masih sihat tubuh badan, gunakan lah kudrat sendiri. Jatuh sekali bangkit kembali.
“Duit takkan jatuh dari langit. Saya ni lagi susah. Kalau saya boleh buat saya juga percaya orang luar pun boleh buat,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai