Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Jangan mudah hukum murid tak ikuti PdPR'

Saranan untuk menggantung persekolahan murid yang tidak mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) mendapat kritikan pelbagai pihak apabila ia disifatkan sebagai tidak sensitif dengan keadaan semasa pelajar.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad, berkata tindakan menghukum dalam situasi sukar ketika ini hanya akan menimbulkan lebih banyak masalah.

“Murid-murid tidak hadir PdPR ada tiga sebab utama. Pertama, murid-murid tak ada peranti dan internet sebab mereka miskin. 

"Jadi solusinya, usahakanlah untuk dapatkan peranti dan data internet untuk murid-murid miskin ini terus belajar. Ada peranti rajinlah mereka hadir PdPR.

“Kedua, murid-murid selepas setahun setengah PdPR, mereka dah semakin bosan dengan kaedah PdPR yang sama setiap hari. Ramai guru yang kreatif, tetapi ada juga guru yang tak kreatif. Bila dah bosan, mereka pun tak hadir PdPR.

"Bayangkan kita sendiri kena hadap PdPR yang sama setiap hari selama setahun, mestilah rasa bosan dan terfikir nak ponteng juga. Apa lagi ini anak-anak kecil.

"Rutin PdPR yang sama setiap hari akan mengurangkan motivasi pembelajaran mereka,”ujarnya dalam kenyataan di Facebook.

Anuar berkata demikian mengulas saranan bekas Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid yang dilaporkan berkata, tindakan tegas perlu diambil termasuk menggantung persekolahan murid yang tidak mengikuti sesi PdPR selama tiga hari berturut-turut tanpa alasan kukuh.

Mahdzir berkata hasil Kajian Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati, kehadiran murid dalam PdPR tidak mencapai 80 peratus.

"Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) seharusnya tampil mengemukakan segala data berkaitan proses PdPR secara komprehensif bagi membuka mata semua pihak, terutama ibu bapa, khususnya berkaitan isu keciciran PdPR ini.

“Mungkin tindakan tegas seperti hukuman gantung sekolah perlu dikuatkuasakan jika seseorang murid tidak hadir ke kelas PdPR tiga hari berturut-turut tanpa sebarang sebab munasabah,” kata Mahdzir.

Mengulas lanjut, Anuar berkata masalah lain yang perlu diatasi adalah peranan ibu bapa yang masih tidak memahami sistem PdPR.

“Ada ibu bapa yang akan sentiasa minta tolong anak-anak buat macam-macam kerja. Anak-anak akan diminta tolong oleh ibu bapa di dapur, jaga adik, bersihkan kebun dan macam-macam lagi," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata ada banyak faktor yang menyebabkan murid-murid tidak dapat menyertai PdPR.

"Selain sifat malas dan tiada motivasi, faktor paling besar sebagaimana semua orang tahu ialah tidak memiliki peranti, tiada kemampuan membeli data internet, terpaksa berkongsi peranti dengan adik beradik lain.

"Malah terpaksa tunggu bapa balik daripada kerja untuk pinjam telefon bapa, keadaan rumah yang tidak selesa untuk belajar dan kawasan kediaman tiada akses internet.

"Dalam suasana yang begitu banyak cabaran dan permasalahan, isu menggantung murid untuk dikaitkan dengan PdPR tidak sepatutnya timbul. 

"Kita bimbang, ia nanti akan menjadi pendorong untuk murid-murid agar sengaja digantung supaya tidak perlu mengikuti PdPR," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sementara itu Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Mohamad Ali Hasan turut menggesa semua pihak agar tidak cepat menghukum murid yang tidak mengikuti PdPR.

"Arahan seperti ini perlu diperhalusi dan diteliti semasak-masaknya. 

"Sepatutnya kita jangan mudah menghukum dan mendera anak-anak yang (tidak dapat mengikuti PdPR) kerana mereka ada sebab tertentu yang patut kita bertimbang rasa dan cari penyelesaiannya terlebih dahulu," katanya kepada Malaysiakini.