Isu hartal: KKM nafi keluar notis kenal pasti pegawai kontrak
Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan pihaknya mengeluarkan arahan kepada semua ketua jabatan klinikal untuk mengenal pasti pegawai perubatan kontrak yang ingin atau mengambil keputusan untuk tidak bekerja pada 1 Julai.
Ketika dihubungi, seorang pegawai kementerian memberitahu Malaysiakini bahawa notis untuk mengenal pasti pegawai perubatan kontrak yang merancang melakukan hartal pada bulan depan, seperti yang dikongsi di Twitter, adalah palsu.
Notis itu menyatakan mereka boleh dikenal pasti menerusi gambar profil WhatsApp; tulisan #hkontrak pada alat pelindung diri (PPE) yang dipakai, hantaran dalam media sosial media sertamenunjukkan prestasi kerja dan sikap tidak memuaskan bagi pegawai yang akan ditamatkan kontrak dalam masa terdekat.
Malaysiakini semalam melaporkan sekumpulan pegawai perubatan kontrak akan melakukan hartal yang dirancang pada akhir Julai depan melainkan kerajaan menyelesaikan masalah mengenai penempatan tetap mereka.
KKM dalam satu kenyataan, berkata Ketua Setiasaha Kementerian itu, Mohd Shafiq Abdullah dalam mesejnya kepada pengurusan jabatan kesihatan negeri, telah menggariskan pelbagai usaha untuk menangani isu yang dihadapi pegawai perubatan kontrak.
Ini termasuk usaha mendapatkan bilangan jawatan tetap yang memenuhi konsep 'right sizing' dengan rundingan diadakan antara pelbagai pihak seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan untuk mencari jalan penyelesaian.
KKM telah mencadangkan kontrak jangka panjang untuk membolehkan pegawai kontrak dapat meneruskan program ijazah sarjana dan kesesuaian tajaan biasiswa, yang kini masih dalam rundingan.
Tambahnya, isu perbezaan gaji pegawai perubatan kontrak dan tetap telah pun diselaraskan dengan kelulusan kabinet pada tahun 2020.
"Sehubungan itu, KSU meminta semua Pengarah JKN dan Pengarah Hospital memberi penerangan mengenai usaha-usaha yang telah dan sedang dilakukan KKM kepada pegawai perubatan agar mereka tidak menyertai hartal yang dibangkitkan kumpulan tertentu.
Pegawai perubatan kontrak yang bercakap dengan Malaysiakini dengan syarat tidak mahu disebutkan namanya berkata, rancangan hartal itu tercetus berikutan kenyataan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba pada 23 Jun lalu yang mempertahankan pengambilan pekerja secara kontrak sejak Disember 2016.
Ketika dihubungi hari ini, sumber itu menegaskan tidak ada rancangan hartal akan dilakukan pada 1 Julai, tetapi perkara itu tidak dapat dielakkan kecuali jika kerajaan menyelesaikan masalah mengenai penempatan tetap mereka yang berlarutan sekian lama.
Secara berasingan, MMA Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (Schomos) mengeluarkan "Code Black" - yang sering digunakan untuk merujuk kepada kecemasan hospital termasuk ancaman bom atau ancaman peribadi kepada kakitangannya.
"Masalah pegawai kesihatan kontrak mirip dengan bom waktu dan ancaman yang pasti terhadap kebajikan dan kesejahteraan mereka," kata Schomos di Facebook sambil menyatakan esok akan dianggap sebagai 'Black Monday'.
Beberapa orang pegawai perubatan yang menjawab hantaran tersebut bertanya apakah mereka harus memakai pakaian hitam sebagai tanda sokongan.
Sementara itu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, isu melibatkan jaminan pekerjaan dan peluang kerjaya lebih 20,000 pegawai perubatan kontrak perlu diselesaikan segera oleh kerajaan.
"Adalah sangat tidak wajar apabila pegawai perubatan kontrak tidak mendapat faedah yang sama seperti pegawai tetap yang lain.
"Amalan dua darjat seperti ini tidak harus diamalkan tatkala beban tugas yang dipikul insan-insan ini sangat berat di saat pandemik, dan KKM mesti ambil langkah yang lebih proaktif dan prihatin terhadap kebajikan mereka," kata Anwar hari ini.
Pada masa ini terdapat seramai 23,077 pegawai perubatan kontrak sejak 2016, di mana hanya 789 pegawai yang telah diambil bekerja sebagai kakitangan tetap.
Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, sebelum ini bersetuju untuk menyelesaikan masalah mereka selepas mengadakan pertemuan dengan Schomos.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai