Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lelaki cuba seludup 697 paket minyak masak ditahan

Cubaan seorang lelaki memandu kereta berisi muatan minyak masak dipercayai untuk diseludup membawa padah apabila ditahan Pasukan Batalion 7 Gerakan Am (PGA7) yang sedang melakukan rondaan.

Kejadian berlaku di Kampung Lanchang Jeram Perdah, Kelantan kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Susulan itu, PGA7 merampas 697 paket minyak masak bernilai kira-kira RM2,788.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, tangkapan dilakukan ketika pihaknya terserempak dengan kereta berkenaan yang ketika itu dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika rondaan, pihak polis terserempak dengan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan lalu menahan kereta tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kereta, pihak polis telah menjumpai lalu merampas 41 kotak berwarna coklat, di dalamnya mengandungi 697 paket minyak masak,”katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Azhari berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk siasatan lanjut.

“Melalui tangkapan terbabit, pihak polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback bernilai RM10,000 dan jumlah rampasan termasuk kereta, adalah sebanyak RM12,788.

“Tahanan dan kesemua barang rampasan di bawa ke Balai Polis Jeram Perdah, Kelantan untuk laporan dan siasatan lanjut," katanya.