Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemilihan Umno: Tak semestinya tangguh sampai 18 bulan - Mat Hasan

Pemilihan Umno tidak semestinya ditangguhkan sehingga 18 bulan walaupun perlembagaan parti membolehkannya, kata Mohamad Hasan.

Timbalan presiden Umno itu berkata, pemilihan mungkin diadakan lebih awal jika kedaaan penularan wabak Covid-19 semakin baik.

"Berdasarkan perlembagaan Umno, kita boleh tangguh selama 18 bulan. (Tetapi) Tak semestinya kita perlu tunggu selama 18 bulan (untuk mengadakan pemilihan parti).

"Sekiranya situasi semakin baik, kita mungkin boleh mengadakan pemilihan lebih awal," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu hari ini, Malaysiakini melaporkan Umno hampir pasti menangguhkan pemilihan parti itu selepas majoriti ahli Majlis Tertinggi (MT) bersetuju untuk menangguhkannya selama 18 bulan.

Menurut sumber yang juga ahli MT Umno, keputusan itu dibuat berdasarkan perlembagaan parti dan kata sepakat dicapai melalui satu resolusi yang dibuat secara dalam talian,

Ahli MT Umno, Tajuddin Abdul Rahman mengesahkan perkara itu.

Katanya, Umno juga telah mendapatkan pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menyarankan pemilihan ditangguhkan.

"Semua setuju tangguh pemilihan, jadi, selepas penangguhan selama 18 bulan, pemilihan Umno dijangka akan diadakan awal 2023," katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod jika pemilihan ditangguhkan selama tempoh itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan terus memimpin parti itu sehingga ke waktu itu.

Pada masa sama, terdapat beberapa tokoh dalam Umno yang menggesa pemilihan diadakan segera.

Antara yang telah menyuarakan pandangan itu adalah Ahli Parlimen Padang Rengah Nazri Abdul Aziz, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Umno Perlis Shahidan Kassim.