PKR Pulau Pinang saran PKP bersasar untuk tangani tekanan hidup
PKR Pulau Pinang berkata sudah sampai masanya untuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) menamatkan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 di negeri itu dan menggantikannya dengan kaedah yang lebih sesuai dengan keadaan semasa.
Pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata kesan ekonomi daripada PKP 3.0 dan sekatan pergerakan penuh kini semakin memuncak.
Ketika ini katanya masyarakat tenggelam punca dan kes baru harian Covid-19 masih tinggi di sebalik pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.
Katanya PKP pertama menunjukkan kesan ketara dan mencapai matlamat MKN justeru ia sepatutnya diteladani dan diterjemahkan bagi mengekang penularan wabak.
Muhammad Bakhtiar menambah kesan paling ketara ialah dari segi ekonomi apabila orang ramai menghadapi tekanan termasuk ekoran kehilangan pekerjaan dan pendapatan.
"Dalam keadaan yang lebih teruk, sekatan ini menyumbang kepada korban nyawa.
"Di Pulau Pinang saja, 53 kes bunuh diri dilaporkan dalam tempoh lima bulan terakhir.
"PKR Pulau Pinang percaya ia adalah akibat tekanan hidup apabila tiada kelangsungan punca pendapatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Muhammad Bakhtiar dari sudut keupayaan Pulau Pinang bertambah baik sepanjang PKP apabila bagi tempoh 13 Jun hingga 19 Jun lalu negeri itu mencatat 3.36 peratus iaitu antara negeru teredah dalam negara.
Bagi peratusan kes sporadik pula kata ahli parlimen Balik Pulau itu, Pulau Pinang mencatatkan kedudukan kedua paling rendah iaitu 38.36 peratus.
"MKN seharusanya secara serius menggunakan langkah-langkah kawalan dan pendekatan PKP yang lebih baik dan bersasar bagi setiap negeri, pelaksanaan rentas daerah, dan pelaksanaan rentas negeri.
"Dengan jangkitan yang terkawal kerana kewujudan kaedah pengesanan kontak rapat yang lebih efektif, kami yakin sudah tiba masanya sekatan pergerakan terpilih perlu diperkenalkan bagi membolehkan masyarakat terutama mereka yang menjalankan perniagaan kecil dan sederhana dapat menebus kembali kerugian mereka selama ini," katanya.
PKR Pulau Pinang juga kata Muhammad Bakhtiar meminta MKN mengkaji semula waktu operasi untuk premis makanan dan minuman serta dasar tidak boleh menjamu selera di premis perniagaan.
"Covid-19 menimbulkan ancaman nyata dan segera terhadap kesihatan rakyat kita, dan kita menyedari ini.
"Namun, apabila sekatan ini berlanjutan tanpa pertimbangan yang mencukupi untuk mencari nafkah, kita juga berisiko kehilangan nyawa," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai