Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kenyataan Noor Hisham macam orang politik - Salahuddin

Bekas menteri pertanian dan industri asas tani, Salahuddin Ayub menyifatkan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah dalam ciapannya di Twitter baru-baru ini seperti kenyataan orang politik.

Malah, timbalan presiden Amanah itu juga melahirkan rasa hairan dengan kenyataan Noor Hisham itu.

"Salam Tan Sri. Kenyataan Tan Sri dah macam orang politik saja. Adakah Tan Sri nak bagi tahu rakyat yang Tan Sri dah muak dengan isu vaksin dan komisen?

“Kenapa rasa dah muak Tan Sri? Banyak sangat kepentingan dan keperluan yang nak dijaga ke Tan Sri? ciap Salahuddin di Twitter.

Terdahulu Noor Hisham mengulang kicau ciapan pakar kesihatan awam Prof Madya Peter Waiswa dari Makerere University School of Public Health​, Uganda yang menekankan "vaksin sebagai alat (kawalan Covid-19) yang penting tetapi bekalannya tidak mencukupi."

Noor Hisham berkata sekatan pergerakan yang dikenakan satu-satu negara bukanlah penyelesaian kepada pandemik Covid.

"Sekatan pergerakan hanya untuk melambatkan penularan Covid, bukan penyelesaian pengakhiran pandemik itu," ciap Noor Hisham.

Waiswa pada 19 Jun membuat hantaran Twitter mengenai Uganda memulakan penutupan penuh selama 42 hari.

"Kami ada situasi mengejutkan: Tidak ada/ kurang vaksin, hospital penuh, kit ujian tak cukup, orang ramai miskin, begitu juga negara ini.

"Kami perlukan oksigen, sumber manusia dengan kepakaran (dan motivasi dan PPE) dan lain-lain.

"Bagaimana hendak berjuang dalam perang ini," soal Waisma.

Noor Hisham pada siri ciapan balas berkata,"penyelesaian adalah dengan mempercepatkan vaksin bagi mencapai imuniti kelompok secepat yang mungkin."

"Kami beli masa dan membina penampan supaya hospital awam dan swasta dapat menampung kenaikan kes," katanya pada satu lagi ciapan balas terhadap Waisma.

Bekas pengarah Bahagian Kesihatan Unicef, Profesor Stefan Peterson dari Uppsala University, Sweden juga mengulang balas ciapan Waisma itu mengenai kekurangan bekalan vaksin di Uganda.

"Semua rakan saya di Uganda kini menguburkan korban Covid, muda dan tua. #Vaksin sudah habis, dos dari #Sweden dan yang lain belum tiba," ciapnya dengan tanda pagar memalukan yang dieja dengan huruf besar.

Pada ciapan 22 Jun lalu, Peter Wiasma menempelak negara-negara demokrasi maju dalam isu kekurangan bekalan vaksin di Afrika.

"Sekarang melihat #covid19genocide," kicaunya di Twitter.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.