'Jangan kecualikan tapak lombong dari rancangan hutan simpan Tasik Chini'
Sebuah kumpulan alam sekitar hari ini mendesak kerajaan negeri Pahang untuk tidak mengecualikan kawasan perlombongan dari hutan simpan Tasik Chini yang dirancang.
Persatuan Pencinta Alam Malaysia cawangan Pahang percaya bahawa adalah suatu kesalahan jika membiarkan aktiviti perlombongan berlanjutan di lokasi tersebut, yang dikenali sebagai Lot 89798 di Mukim Penyor, Pekan.
"Jika plot tanah itu tidak termasuk sebagai hutan simpan, kegiatan di lokasi perlombongan masih akan menjejaskan Tasik Chini.
"Sekiranya lombong itu terletak beberapa kilometer, itu cerita yang berbeza. Tetapi kawasan ini berdekatan.
"Hakisan tanah berpotensi menjejaskan Tasik Chini. Ini adalah rizab biosfera, ia seharusnya tidak tercemar," kata ketua persatuan itu Noor Jehan Abu Bakar.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan operasi perlombongan mangan yang dirancang di Lot 89798 pada 3 Jun berikutan proses penilaian kesan alam sekitar (EIA).
Kemudian didapati bahawa lokasi perlombongan di Lot 89798 pada awalnya seharusnya menjadi sebahagian daripada hutan simpan Tasik Chini yang dirancang, tetapi telah dihapus dari kawasan yang diperuntukkan.
Menurut Jabatan Ukur dan Pemetaan Pahang, plot tanah tersebut dikecualikan melalui warta kerajaan negeri.
Sebelum ini, syarikat yang diupah untuk melakukan perlombongan bijih mangan di lokasi tersebut memberitahu Malaysiakini bahawa kawasan itu bukan merupakan sebahagian kawasan yang akan diberi perlindungan negeri, dan berharap mereka dapat meneruskannya.
Golden Prosperous Resources Sdn Bhd juga mendakwa bahawa kawasan tersebut telah dirosakkan oleh pelombong haram, dan oleh itu mereka harus dibenarkan untuk terus melombong di sana supaya syarikat mereka dapat meneruskan kerja pemulihan setelah selesai.
Kenapa ada kelewatan?
Noor Jehan juga mempersoalkan kelewatan mewartakan Tasik Chini sebagai hutan simpan, yang mengambil masa lebih dua tahun sejak kerajaan negeri Pahang mengumumkan keputusannya untuk melakukannya pada 2019.
Dia mengatakan pihak mereka gembira kerana keadaan Tasik Chini mendapat perhatian pihak istana, terutama ketika Pemangku Raja Pahang mengunjungi tempat itu dan memerintahkan agar semua kegiatan perlombongan di sana dihentikan.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah juga memerintahkan agar kerajaan negeri memperluas kawasan pewartaan dari 4,600 hektar menjadi antara 6,000 hektar hingga 7,000 hektar.
Namun, dengan menyatakan keprihatinannya terhadap komitmen negeri, Noor Jehan memohon agar pihak istana memastikan arahan Pemangku Raja Pahang itu dipatuhi.
"Kami gembira dengan titah itu, sangat gembira. Ini menunjukkan bahawa kerabat diraja mendengar suara akar umbi.
"Namun, sekarang kami mengetahui bahawa lokasi perlombongan telah dikecualikan dari kawasan itu untuk diwartakan. Ini bertentangan dengan keinginan Pemangku Raja Pahang.
"Siapa yang memastikan bahawa keputusan itu dipatuhi? Adakah pihak tertentu yang memantau hal ini?" soalnya.
Sementara itu, Anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh meminta kerajaan negeri Pahang untuk membuat undang-undang yang melindungi alam dan persekitaran di negeri itu untuk menunjukkan komitmen mereka.
"Situasi ini timbul kerana mudah mudah untuk menyahwartakan semula hutan simpan kekal di Pahang.
"Tidak seperti Selangor apabila ada undang-undang negeri memerlukan kerajaan mengadakan konsultansi dengan pihak awam sebelum mereka berbuat demikian. Keperluan sebegitu tiada di Pahang.
"Dalam erti kata yang lain tiada kesungguhan dan komitmen untuk memelihara khazanah alam semula jadi ciptaan Tuhan," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.
Kata Ketua Wanita PKR Nasional itu lagi syarat seperti yang ada di Selangor itu akan menjadikan proses menyah warta hutan simpan lebih sukar dilakukan.
Justeru, tambah Fuziah, kerajaan negeri tidak seharusnya hanya "mengatakan apa sahaja" kepada orang ramai, anpa ada komitmen untuk mengotakannya.
"Walaupun titah KDYMM Pemangku Raja sekali pun, kerajaan boleh janjikan untuk dijunjung titah dan di laksanakan akan tetapi tindakan berbeza sama sekali.
"Pada saya ini satu tindakan membelakangkan titah KDYMM Tuanku Pemangku Raja Pahang.
"Ampun Tuanku. Selagi tiada polisi yang di pertegas melalui penggubalan undang-undang, maka selagi itu, alam sekitar akan terus menjadi mangsa kepada pemerintah yang tidak bertanggungjawab, seperti yang sering berlaku di negeri Pahang ini," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.
Tasik Chini adalah hutan belantara tropis yang subur dan beraneka ragam, kaya dengan ratusan spesies flora, kehidupan bukan perairan dan ikan air tawar.
Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada tahun 2009 mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai salah satu kawasan simpanan biosfera.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai