Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lelaki ditahan bersama 50 ekor kambing seludup

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi memaklumkan kes itu disiasat bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

Pasukan Batalion 7 Gerakan Am (PGA7) menahan seorang lelaki berumur 47 tahun dan merampas 50 ekor kambing dipercayai diseludup bernilai RM57,250 di Kampung Jubakar, Tumpat, Kelantan, kira-kira jam 2 pagi, hari ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, tangkapan itu dilakukan ketika rondaan dibuat dan pihaknya terserempak dengan lori berkenaan yang ketika itu dalam keadaan mencurigakan.

Azhari berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, pemandu lori gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah berkaitan haiwan ternakan yang dibawa.

“Hasil pemeriksaan lanjut di bahagian belakang lori tersebut, pihak polis telah menjumpai 50 ekor kambing.

“Ketika disiasat, pemandu lori itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Justeru, polis menangkap pemandu lori terbabit serta merampas kesemua 50 kambing dan juga lori berkenaan,”katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Azhari memaklumkan kes itu disiasat bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

“Melalui tangkapan terbabit, pihak polis turut merampas sebuah lori jenis Daihatsu Delta, RM45,000 dan jumlah rampasan termasuk lori, adalah sebanyak RM102,250.

“Tahanan dan kesemua rampasan dibawa ke Balai Polis Chabang Empat Tumpat, Kelantan untuk tujuan laporan dan bagi tindakan lanjut,” katanya lagi.