Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lebih setengah juta rakyat Kelantan daftar vaksin

Pendaftaran vaksin membabitkan rakyat Kelantan kini meningkat kepada 50 peratus iaitu seramai 603,289 berbanding sebelum ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Zaini Hussin, berkata peningkatan pendaftaran itu dibantu dengan pelbagai cara termasuk melalui aplikasi MySejahtera dan Program Outreach Vaksinansi Covid-19.

Jelasnya, peningkatan itu juga disebabkan kesedaran orang ramai selain inisiatif sukarelawan yang masuk ke kampung untuk membantu penduduk membuat pendaftaran suntikan vaksin.

"Kita akan memperbanyakkan lagi program untuk memastikan penduduk di negeri ini mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin dalam masa terdekat.

"Sehingga semalam seramai 603,289 orang sudah berdaftar daripada 1.2 juta yang layak untuk divaksin.

“Daripada jumlah itu, seramai 285,000 penduduk sudah menerima vaksin iaitu 196,784 bagi dos pertama dan 88,376 bagi dos kedua," katanya kepada media selepas melawat pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) Pusat Tarbiah Islam Kelantan (Putik), di Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu Dr Zaini berkata, sehingga semalam, Kelantan berada dalam kelompok 10 teratas di negara ini dari segi suntikan vaksin.

Tambahnya, jumlah itu dijangka akan terus meningkat dan berharap dos vaksin yang dijanjikan kerajaan sebanyak 550,000 dos pada bulan depan akan diperoleh mengikut jadual.

"Selepas mendapat bekalan vaksin itu, kita akan gunakan pelbagai cara untuk memberi vaksin kepada rakyat Kelantan termasuk menambah program outrech selain membuka lima lagi pusat pemberian vaksin (PPV).

"Setakat ini, kita mempunyai 18 PPV di seluruh Kelantan," katanya.