Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jangan ketepikan dakwaan terhadap kehakiman dan polis - Darell, Hannah

Dakwaan membabitkan kebebasan badan kehakiman negara, profesion undang-undang dan polis tidak harus disembunyikan di bawah karpet, kata ahli Parlimen Penampang Darell Leiking dan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

“Kami merujuk kepada laporan berita berkenaan dakwaan campur tangan ke atas badan kehakiman negara membabitkan dua peguam kanan dan laporan polis yang telah dibuat oleh mereka yang terlibat.

“Badan kehakiman yang bebas adalah asas kepada sistem demokrasi dan masyarakat kita.

“Sebuah badan kehakiman yang bebas terletak di antara rakyat dan pihak eksekutif untuk menjadi benteng bagi melawan penyalahgunaan kuasa eksekutif. Profesion undang-undang juga merupakan bidang pekerjaan yang mulia dan berwibawa,” kata mereka pada satu kenyataan bersama hari ini.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bagaimana awalnya isu keperluan ekuiti bumiputera untuk mendapatkan lesen Petronas membabitkan unit Aker Solutions ASA di Malaysia, iaitu firma perkhidmatan minyak terbesar di Norway, berkembang menjadi dakwaan pengaturan kehakiman yang membimbangkan golongan peguam (legal fraternity).

Perkembangan itu berentetan daripada pendakwaan ke atas seorang pengurus Aker Solution dan dakwaan Badan Peguam Malaysia mengenai salah laku salah seorang ahlinya.

Ia kemudian membawa kepada laporan polis oleh pejabat Ketua Hakim Negara terhadap seorang peguam kanan kerana didakwa mencalarkan reputasi badan kehakiman.

Leiking dan Yeoh turut merujuk dakwaan bekas ketua polis negara (IGP) Abdul Hamid Bador berkenaan campur tangan politik dalam polis, apabila mengakui hubungan tidak baik antara dia dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Hamid mendakwa seorang menteri hanya patut terlibat dalam pembuatan dasar, dan tidak harus terlibat dalam soal pelantikan pegawai polis kanan.

“Sebelum ini mantan IGP juga pernah mendakwa terdapat campur tangan oleh pihak eksekutif semasa beliau menjalankan tugasnya. Perkara ini diumumkan secara terbuka sebelum hari persaraannya.

“Dakwaan yang melibatkan soal kebebasan badan kehakiman, profesion undang-undang dan PDRM tidak boleh dipandang ringan.

“Kami menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera menyiasat laporan polis yang telah dibuat. Siasatan yang terperinci mesti dilakukan dengan segera dan hasil siasatan perlu dibentangkan untuk pengetahuan semua.

“Rakyat berhak mengetahui kebenaran ini dan kedudukan tiga institusi penting negara mesti dipelihara dan dilindungi,” kata mereka lagi.

[Baca laporan asal]