Dakwaan padam fatwa: KP Jakim, Abdul Hadi digesa tampil beri penjelasan
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Abdul Aziz Jusoh dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang didesak memberi penjelasan berhubung status "Amanat Haji Hadi" yang difatwakan sesat sebelum ini.
Didakwa sudah dikeluarkan dari paparan senarai fahaman yang diharamkan oleh pihak berkuasa agama, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof berkata rakyat perlu diberi penjelasan tentang apa yang berlaku.
"Saya minta penjelasan daripada ketua pengarah Jakim supaya beri keterangan kepada seluruh rakyat, apa sebenarnya (yang berlaku) dan adakah betul (fatwa itu) dikeluarkan daripada laman sesawangnya.
"Tidak boleh jadikan alasan hanya kerana dia (Abdul Hadi) kini sebahagian daripada kerajaan dan maka fatwa itu tidak sah (lagi)," katanya kepada Malaysiakini.
Kata Mujahid, Abdul Hadi pula perlu memaklumkan jika dia telah menarik balik amanat tersebut sebelum orang ramai boleh menerima fatwa pengharamannya tidak lagi relevan.
"Perlu dinyatakan jika fatwa tentang amanat itu telah ditarik balik serta tuan tubuhnya (Abdul Hadi) kesal serta memohon maaf kepada pihak yang terkesan dengannya," katanya lagi.
Mujahid berkata demikian ketika mengulas dakwaan fatwa berkaitan “Amanat Haji Hadi” sudah dipadam daripada laman sesawang Jakim.
Semalam, Jakim memberitahu pihaknya akan menyemak terlebih dahulu dakwaan fatwa berkaitan “Amanat Haji Hadi” sudah dipadam daripada laman sesawangnya.
Bagaimanapun sumber terdekat Jakim yang dihubungi Malaysiakini memberitahu fatwa itu telah dipadam daripada senarai pengharaman sejak Mac lalu atas arahan ketua pengarahnya.
"Ini memang berlaku. Memang sudah padam atas arahan ketua pengarah Jakim bulan Mac lalu.
"Alasannya tak nak timbul konflik sebab PAS sudah sertai kerajaan dan wakil PAS sudah jadi timbalan menteri. Sangat menyedihkan," katanya.
Fatwa besar dan penting
Pengarah Kanan Unit Komunikasi dan Korporat Jakim, Nor Zaidan Hamad ketika dihubungi pula berkata sehingga kini pihaknya masih belum menerima maklumat rasmi berhubung perkara itu.
"Setakat ini belum ada maklumat rasmi lagi tentang perkara ini," katanya ringkas.
Mengulas lanjut, Mujahid yang juga naib presiden Amanah berkata penjelasan berhubung perkara itu perlu kerana amanat tersebut telah menjadi isu politik besar pada masa lalu.
Katanya, ekoran amanat tersebut, timbul perpecahan di kalangan umat Islam seperti tuduhan kafir mengkafir sehingga dibawa ke Majlis Fatwa Kebangsaan dan difatwakan sebagai sesat.
"Majlis Fatwa melihat kesan amanat itu sehingga ada yang sembahyang dua imam, tidak pergi kenduri, tak makan daging sembelihan orang Umno dan sebagainya.
"Jadi bagi saya fatwa itu sangat besar dan penting dan sehingga kini, Haji Hadi belum menarik balik amanat itu secara rasmi.
"Tetapi sekarang (PAS) sebagai parti dalam kerajaan dan wakilnya timbalan menteri (di Jabatan Perdana Menteri hal ehwal agama), tiba-tiba boleh padamkan (fatwa) begitu saja setelah para ulamak dan mufti (pada masa itu) bermuzakarah.
"(Setakat ini) Saya tidak nampak ada apa-apa kenyataan berhubung fatwa itu sudah tidak relevan. Tiba-tiba ia hilang, 'error 404'," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai