ULASAN | Strategi untuk pastikan ekonomi 'kalis pandemik'
ULASAN | Kami ingin menyatakan kekesalan kami di atas kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani krisis ekonomi di era pandemik ini. Ketiadaan hala tuju polisi yang jelas telah menghakis keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan berdaya maju. .
Pada 16 Jun 2021, Dewan Perdagangan dan Industri EU-Malaysia (Eurocham Malaysia) menegaskan bahawa ketidaktentuan ekonomi ditambah pula dengan pelanjutan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang tidak meyakinkan telah menyebabkan penangguhan aliran masuk pelaburan asing.
Ketidaktentuan akibat tindakan-tindakan drastik dan mendadak kerajaan ini telah mengakibatkan operasi syarikat-syarikat tempatan tergendala dan berisiko mencemarkan reputasi Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang selamat.
Persatuan-persatuan perdagangan tempatan turut mendedahkan bahawa penutupan sektor-sektor yang dianggap tidak penting seperti sektor peruncitan dan perkhidmatan akan meninggalkan impak ekonomi yang cukup buruk. Setakat ini, pelaksanaan PKP 3.0 dan PPN dijangka akan mengakibatkan kerugian mencecah sehingga RM170 bilion.
Walaupun dalam tempoh PKP 3.0 dan penutupan sempadan antarabangsa, Malaysia masih mencatatkan bilangan kes positif harian yang tinggi. Perkembangan ini memberikan gambaran bahawa Covid-19 akan menjadi endemik walaupun dengan peningkatan bilangan rakyat Malaysia yang telah divaksin.
Strategi PKP berulang-kali yang dilaksanakan oleh kerajaan kini tanpa jalan keluar yang jelas akan melumpuhkan ekonomi Malaysia dan menghapuskan sama sekali keyakinan pelabur.
PKP 3.0 ini terpaksa dilaksanakan untuk mengelakkan kelumpuhan perkhidmatan kesihatan akibat kekurangan kemudahan Unit Rawatan Rapi (ICU) yang tidak lagi mampu menampung pertambahan kes positif melebihi 6,000 kes sehari.
Malangnya, PKP kali ini kurang berkesan kerana pelbagai sektor barang dan perkhidmatan keperluan terpaksa terus dibenarkan untuk beroperasi. Akibatnya, sepanjang dua minggu pertama PKP 3.0 ini sahaja, 218 kluster tempat kerja dikesan daripada keseluruhan 333 kluster jangkitan baru.
Justeru, selain usaha vaksinasi, Pakatan Harapan menggesa kerajaan untuk memberi keutamaan dan melabur dalam dua strategi utama demi kelangsungan kegiatan ekonomi dan mengembalikan keyakinan pelabur dalam keadaan norma baru.
Meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam
Kerajaan harus meningkatkan kapasiti sistem perkhidmatan kesihatan negara khususnya dalam mendepani wabak Covid-19 dan variannya. Ini termasuklah bekerjasama dengan sektor swasta sebagai sebahagian daripada pendekatan ‘whole of society’ dalam usaha melawan wabak ini.
Infrastruktur kesihatan awam perlu dipastikan mampu untuk menangani kes-kes positif yang dijangka terus tinggi terutamanya kapasiti kemudahan ICU untuk kes-kes kronik.
Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk membina pusat rawatan khusus untuk Covid-19 bagi mengurangkan beban hospital sedia ada. Pendekatan ini pernah diambil dahulu dengan penubuhan hospital khusus untuk pesakit kusta dan pesakit batuk kering (tuberculosis).
Mewujudkan ruang kerja kalis pandemik untuk memastikan kesinambungan kegiatan ekonomi
Memandangkan bilangan kluster tempat kerja yang tinggi terutamanya daripada sektor pembuatan, kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk mengawal penularan wabak ini di kilang-kilang dan kuarters pekerja.
Usaha ini tidak akan berjaya jika kerajaan hanya bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang atau peraturan baru semata-mata.
Kebanyakan kilang-kilang, terutamanya industri kecil dan sederhana (IKS) sedang bergelut dengan masalah kewangan dan aliran tunai dan tentunya tidak mampu untuk menanggung kos untuk mengubahsuai fasiliti mereka menjadi kalis pandemik.
Bantuan-bantuan kewangan dan moratorium bersasar (jika layak) pula hanya membantu untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan pengekalan pekerja.
Kami menggesa kerajaan untuk segera membelanjakan sekurang-kurangnya RM15 bilion dalam bentuk geran dan pembiayaan mudah bagi membantu perniagaan daripada semua sektor untuk menjadikan fasiliti mereka kalis pandemik.
Kerajaan Selangor telah memulakan usaha ini dengan memperkenalkan Program Prevention of Outbreak at Ignition Sites (POIS), termasuk memperuntukkan RM500,000 untuk memastikan pematuhan dan kawalan kesihatan di tempat kerja. Kerajaan Persekutuan tentunya mempunyai sumber dan kekuatan kewangan untuk berbelanja lebih banyak daripada kerajaan Selangor dalam memastikan kejayaan program seumpama ini.
Langkah-langkah ini perlulah disertakan dengan subsidi ujian saringan di tempat kerja secara berkala sebagai langkah pencegahan awal seiring dengan langkah ‘Find, Test and Trace, Isolate, Support and Vaccinate’ (FTTIS+V) yang disarankan pakar-pakar kesihatan.
Kerajaan juga perlu memperkenalkan insentif melalui potongan cukai atau subsidi untuk memasang sistem ‘sensor’ dan pengudaraan yang bersesuaian.
Dua strategi utama yang dinyatakan akan membantu Malaysia dalam mengurus dan menghidupkan semula sektor ekonomi dalam suasana norma baharu. Andai nanti Malaysia mencapai imuniti kelompok melalui kempen vaksinasi sekalipun, kita perlu bersiap siaga dalam menghadapi kebarangkalian kemunculan varian-varian baru Covid-19 yang lebih bahaya.
Kita perlu berbelanja dan melabur dalam memastikan ekonomi kita kalis pandemik agar rakyat dapat meneruskan kehidupan walaupun dalam keadaan kes positif yang tinggi.
Kita perlu memberi jaminan kepada pemain industri dan pelabur bahawa aktiviti perniagaan boleh dijalankan seperti biasa dan tempat kerja boleh menjadi ruang yang selamat untuk semua.
Kerajaan harus berhenti daripada mengambil pendekatan sekatan pergerakan dengan SOP yang bercelaru dan mengelirukan secara serta merta.
Kenyataan ini dikeluarkan Jawatankuasa Ekonomi dianggotai Tony Pua (DAP-Petaling Jaya), Dr Dzulkefly Ahmad (Amanah-Kuala Selangor), Wong Chen (PKR-Subang), Tan Yee Kew (PKR-Wangsa Maju), Noor Amin Ahmad (PKR-Kangar), Ammar Atan (Amanah), Raja Ahmad Iskandar Fareez (DAP), Syeikh Khuzaifah Bawazeer (Amanah) dan E Hun Tan (DAP).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai