PM umum sagu hati sukarelawan kesihatan Covid-19 dinaikkan
Kerajaan hari ini mengumumkan peningkatan bayaran sagu hati sukarelawan petugas kesihatan yang terlibat dalam proses vaksinasi dan pengurusan Covid-19 kepada RM100 sehari berbanding RM50 sebelum ini, sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan mereka.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata pembayaran yang bermula bulan ini akan melibatkan 19,000 sukarelawan yang bertugas lebih 12 jam dengan implikasi kewangan tambahan berjumlah RM180 juta, dan ia diberikan kepada semua sukarelawan kesihatan yang bertugas di lapangan.
"(Ini bermakna) yang di PPV kita bagi, yang bukan PPV pun kita bagi seperti (sukarelawan) di pusat kuarantin dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC),” katanya pada sidang media selepas melawat PPV di Dewan Muafakat Bukit Gambir di Tangkak, Johor hari ini.
Dia berkata sebelum ini peruntukan bagi sukarelawan adalah sebanyak RM147 juta, dan dengan pertambahan dengan pertambahan peruntukan baru itu jumlah keseluruhan peruntukan untuk sukarelawan kini adalah RM327 juta.
Muhyiddin yang juga Adun Gambir berkata kenaikan kadar sagu hati kepada sukarelawan kesihatan merupakan pengiktirafan kepada jasa dan sumbangan mereka yang bertungkus lumus, antaranya berusaha memastikan rakyat dapat menerima suntikan vaksin dengan teratur, cepat dan selamat.
“Ini adalah komitmen kerajaan untuk memastikan bahawa walaupun (mereka) sukarelawan tetapi mereka berkorban masa (dari pagi) sampai petang, malam...lebih 24 jam dan sebagainya. Jadi kita hargai sumbangan mereka, saya harap dengan adanya sumbangan ini mereka akan terus bekerja bertungkus lumus membantu supaya proses vaksinasi ini dapat dijalankan dengan licin dan lancar.
“Ini menunjukkan keseriusan kerajaan dalam meningkatkan kadar vaksinasi di seluruh negara dan juga menunjukkan peningkatan yang cukup memberangsangkan sekarang ini. Kita nak ingatkan pada orang ramai, lebih ramai rakyat pergi untuk mendapatkan vaksin maka lebih ramai kita dapat lindungi daripada jangkitan Covid-19,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan juga mencadangkan agar PPV beroperasi tujuh hari seminggu dengan masa operasi dilanjutkan.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai