Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Dasar inklusif OKU di IPT perlu dikembalikan

ULASAN | Saya mengambil maklum laporan Malaysiakini bertarikh hari ini, 22 Jun 2021, di mana seorang calon OKU telah dinafikan peluang untuk mengambil kursus-kursus yang dipohon atas sebab beliau mempunyai kekurangupayaan fizikal. 

Calon tersebut mendapat 9A dalam peperiksaan SPM 2019 dan telah memohon untuk program di ASASIPINTAR UKM dan juga lima lagi program ASASI SAINS dan Diploma di universiti awam yang lain. 

Walau bagaimanapun, apabila UPU Online melalui fasa kemas kini, permohonan asal beliau telah hilang dan digantikan dengan hanya dua program diploma dan 20 program sijil dari politeknik dan kolej komuniti yang layak dipohon oleh beliau.

Saya difahamkan yang perkara ini bukan isu terpencil kerana saya juga telah menerima beberapa maklum balas daripada ibu bapa anak OKU yang menyuarakan masalah yang serupa. 

Sistem UPU online yang dikemas kini menetapkan hanya kursus-kursus tertentu yang boleh dipohon oleh calon OKU dan bilangan kursus-kursus yang dikatakan ‘mesra OKU’ ini sangat terhad.

Dasar ‘segregationist’ dan ‘exclusion’ ini merupakan suatu ketidakadilan kepada calon OKU dan jauh menyimpang dari amalan dasar inklusif sebelum ini di mana mereka diberikan laluan khas bagi kemasukan ke universiti. 

Mereka harus diberikan peluang sama rata dengan calon-calon bukan OKU, dan bukannya semakin disekat peluang mereka mendapatkan pendidikan tinggi.

Hasil dari dasar laluan khas sebelum ini sebanyak 466 calon OKU telah berjaya ditawarkan tempat pengajian di universiti awam bagi sesi kemasukan akademik 2019/2020. 

Namun pada hari ini, laluan kemasukan calon OKU ke universiti bukan hanya tidak lagi dipermudahkan malah telah disekat laluan mereka.

Malaysia telah menandatangani the United Nations Convention on the Rights of Persons with Disabilities (UNCRPD) pada tahun 2008 dan hak OKU dalam mendapatkan pendidikan merupakan salah satu penekanan utama dalam Artikel 24 dokumen tersebut. 

Secara konsepnya, negara kita telah mengamalkan dasar inklusif OKU selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dengan menyediakan Program Pendidikan Khas (PPK), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Pendidikan Inklusif (PPI) seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan (1996). Ini disambung pula dengan pelaksanaan Dasar Sifar Penolakan (Zero Reject Policy) pada 2019 di peringkat sekolah.

Di peringkat pendidikan tinggi juga, hampir semua bidang adalah terbuka untuk dipohon oleh calon-calon OKU di semua universiti dan kini kita dapati ramai graduan OKU dalam pelbagai bidang termasuk bidang professional dan mereka kini bertugas sebagai jurutera, arkitek, peguam dan sebagainya yang berjaya.

Komitmen kerajaan dalam memperkasakan pendidikan inklusif diteruskan lagi dengan pelancaran Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif OKU di Institusi Pengajian Tinggi pada 5 September 2019, yang mana semua Universiti dikehendaki untuk menyediakan Pelan Strategik Jangka Pendek dan Jangka Panjang untuk memenuhi keperluan setiap pelajar OKU di IPT, terutamanya IPTA.

Saya ingin menyeru agar Kementerian Tinggi (KPT), dan semua IPTA serta Politeknik dan Kolej Komuniti di bawah pentadbiran KPT Kembali kepada ‘Dasar Inklusif OKU di IPT’ yang dilancarkan oleh KPM pada tahun 2019 sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepertimana yang dijanjikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi semasa Sidang Dewan Rakyat di Parlimen pada 4 Ogos 2020.

Saya amat berharap sistem pendidikan inklusif yang diamalkan sebelum ini diteruskan dalam erti kata sebenar supaya negara kita tidak dilihat sebagai negara yang menganaktirikan atau lebih ekstreme lagi dilabel sebagai negara yang mengamalkan dasar apartheid dalam penyediaan pendidikan bagi golongan OKU.


MASZLEE MALIK merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan dan bekas menteri pendidikan Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.