Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menara baru di Bagan Datuk dijangka siap tahun depan

Sebuah menara baharu akan dibina oleh syarikat telekomunikasi Maxis di Kampung Sungai Samak, Bagan Datuk di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), yang dijangka siap pembinaannya pada bulan April 2022.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan hari ini menyatakan pembinaan menara baharu itu dijangka mampu menyelesaikan masalah liputan, yang dihadapi oleh penduduk di sekitar kampung berkenaan.

“Kerja-kerja menaik taraf menara sedia ada akan dijalankan pihak Celcom di lokasi menara terdekat di Kampung Sungai Samak dijangka siap pada September depan. Pelbagai usaha giat dijalankan bagi memastikan masalah kesalinghubungan di kawasan tersebut dapat ditangani segera.

“Satu pertemuan antara pihak MCMC Negeri Perak dan wakil penyedia perkhidmatan terdiri daripada Celcom, Digi dan Maxis dengan Ketua Kampung Sungai Samak Ahmad Hilmi Yunus, telah pun diadakan pada Sabtu lalu bagi mendapatkan gambaran berhubung masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat,” menurut kenyataan itu.

Akhbar tempatan sebelum ini melaporkan masalah capaian Internet yang tidak stabil di Kampung Sungai Samak, mendorong penduduk di beberapa buah kampung di Ipoh menggunakan ‘booster’ yang dipasang pada galah panjang atau batang pencantas pelepah kelapa sawit, untuk menambah kekuatan isyarat.

Penduduk berkata mereka tiada pilihan selain menggunakan sebatang galah panjang sehingga ketinggian 40 kaki, disebabkan capaian Internet yang lemah sehingga menjejaskan anak-anak mereka untuk mengikuti sesi proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Dalam pada itu, kenyataan menyatakan yang pelajar di kampung itu boleh menggunakan Pusat Internet Komuniti yang terletak dalam lingkungan 2.5 kilometer dari kampung itu untuk meneruskan PdPR, selain memanfaatkan kemudahan yang disediakan di pusat internet berkenaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

- Bernama