Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Polis nak tangkap, pencuri kena lari' - Polis Sentri kini permainan digital

Masih ingat dengan permainan nostalgia zaman kanak-kanak, Polis Sentri? Kini, permainan itu terdapat dalam versi digital.

Police Sentri, yang dibangunkan oleh Todak Studios, 100 peratus pembangun tempatan, adalah permainan dalam talian berbilang pemain, dengan seramai lapan pemain dibahagikan kepada dua pasukan iaitu untuk menjadi polis atau pencuri.

Sama seperti zaman kanak-kanak, untuk memenangi permainan, pasukan polis perlu menangkap semua pencuri manakala pencuri harus melarikan diri atau memegang beg berisi wang yang dicuri daripada polis sehingga waktu tamat.

Untuk menjadikan permainan itu menarik, para pemain boleh mengumpul pelbagai barangan seperti jalan berlubang, kulit pisang, pakaian untuk penyamaran, pembuka kunci, kubis dan angsa untuk membantu mencapai misi mereka (mengelak atau menangkap musuh) dan menambahkan keseronokan dalam permainan.

Eksekutif Penerbitan dan Pemasaran Todak Studios Haaziq Azrai Abdul Kadir berkata para pemain juga boleh naik ke peringkat lebih tinggi, yang memberikan peningkatan kepada kelajuan masing-masing.

Untuk naik ke peringkat seterusnya, pencuri perlu menyelamatkan rakan mereka dari penjara, sementara polis harus menangkap pencuri yang berada di peringkat yang lebih tinggi.

"Ini adalah permainan berbilang pemain yang menyeronokkan dan santai, yang hanya memerlukan kira-kira satu hingga tiga minit setiap sesi. Enam pembangun tempatan membangunkan permainan ini, yang memakan masa kira-kira enam bulan. Police Sentri adalah permainan kedua kami, permainan pertama di bawah kami adalah ‘To-Gather Island’,” katanya dalam sesi secara maya.

Haaziq Azrai berkata permainan Police Sentri dijangka dilancarkan secara rasmi pada 16 Julai, sambil menambah bahawa versi Beta yang dikeluarkan di Play Store (untuk Android) dan dalam talian (untuk komputer) mendapat sokongan yang baik, termasuk daripada pemain Indonesia.

Versi Beta permainan itu boleh dimuat turun di https://todakstudios.itch.io/police-sentri?download untuk komputer.

Menurut beliau, item pembelian dalam aplikasi akan ditambahkan ke dalam permainan selepas pelancaran untuk meningkatkan cabaran dan menjadikannya lebih menarik.

"Kami juga merancang untuk mempromosikan permainan menggunakan streamers (pemain yang menyiarkan permainannya secara langsung) untuk meningkatkan populariti permainan, serta menganjurkan acara mini secara maya. 

"Streamers biasanya suka bermain bersama-sama dengan penonton mereka, tetapi tidak semua permainan boleh menyokongnya,” katanya.

- Bernama