Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sultan Johor: Tak perlu ragu vaksin Covid-19

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menasihati rakyat supaya tidak berasa ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin demi kesihatan serta membendung penularan wabak Covid-19.

Sultan Ibrahim bertitah ini kerana baginda sendiri bersama Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan keluarga Diraja Johor sudah menerima suntikan vaksin berkenaan baru-baru ini.

"Saya dan keluarga sudah menerima vaksin dan amat berharap rakyat Johor juga tidak ragu-ragu untuk mendapatkan vaksin demi menjaga serta melindungi diri serta keluarga masing-masing.

"Saya dan Permaisuri Johor dalam keadaan yang sihat selepas menerima suntikan vaksin. 

"Alhamdulillah kami juga tiada kesan sampingan," titah baginda dalam kenyataan di Facebook rasminya semalam.

Baginda bertitah di samping perlu mengikut segala nasihat serta prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM), pengambilan suntikan vaksin juga penting dalam mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 dan mencapai imuniti kelompok.

"Selain melindungi diri, kita juga perlu memikirkan pasukan barisan hadapan, doktor, jururawat dan pasukan perubatan yang sedang bertungkus-lumus merawat pesakit-pesakit Covid-19.

"Lebih ramai yang menerima vaksin, semakin kita hampir kepada imuniti kelompok dan mengurangkan kesan buruk penyakit ini kepada kehidupan seharian kita. 

"Justeru, daftarlah untuk vaksin dan pastikan anda serta ahli keluarga selalu menyemak serta menepati janji temu MySejahtera," titah baginda.

Johor merekodkan 498 kes baru hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di negeri ini sebanyak 67,366 kes dengan 493 kematian.

- Bernama