Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perancah besi Dash runtuh, 2 pekerja cedera

Perancah besi Lebuh Raya Bertingkat Damansara Shah Alam (Dash) yang dalam pembinaan runtuh petang tadi, mencederakan dua orang.

Insiden itu berlaku berhampiran jalan keluar Kota Damansara dari Lebuhraya Lembah Klang Baru Utara (NKVE).

Pemaju Dash, Prolintas dalam satu kenyataan malam ini, mengatakan pihaknya telah mengeluarkan perintah berhenti kerja di kawasan itu.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat mengatakan konkrit dan perancah besi jatuh dari ketinggian 12 meter.

Kedua-dua pekerja warga asing itu dilaporkan bekerja di bawah jalan raya yang sedang dalam pembinaan ketika kejadian.

Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, kedua-dua mereka mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan dan telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Ini adalah kemalangan yang berkaitan dengan lebuh raya ketiga tahun ini.

Pada 3 Mac, sebuah lori treler merempuh perancah besi di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke), menyebabkan jambatan yang belum selesai runtuh menimpa sebuah van yang bergerak. Dua orang maut dan tiga lagi cedera.

Kemudian pada 22 Mac, sebuah kren yang di lebuh raya Suke runtuh, menyebabkan tiga maut.

Prolintas juga merupakan pemaju untuk Suke.