Wanita maut kereta dirempuh lori bawa makanan ayam
Seorang wanita maut manakala kenderannya remuk teruk selepas dirempuh lori membawa makanan ayam di Jalan Chemor-Jelapang berhampiran Ipoh hari ini.
Dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Jelapang kira-kira jam 10.40 pagi itu, lori terbabit yang datang dari arah lebuh raya Ipoh-Lumut menghala ke Sungai Siput tiba-tiba hilang kawalan.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata lori berkenaan kemudian memasuki laluan kenderaan dan merempuh kenderaan mangsa yang dari arah Jalan Chemor ke Jelapang.
Katanya mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat wanita itu kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat," katanya.
Yahaya juga mengesahkan seorang lelaki berusia 44 tahun yang juga pemandu lori itu sudah ditahan dan polis akan mendapatkan kebenaran menahan reman segera.
Sementara itu Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 1 Perak, Nor Rasidamawati Abd Rasid, berkata mangsa berusia 26 tahun itu dikenali sebagai Noor Aisyah Mohd Tahir.
Katanya bomba menerima panggilan berkenaan kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta Proton Persona dan lori membawa makanan ayam yang sepatutnya dihantar ke Sungai Siput.
“Kami menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana lori bermuatan dengan anggaran berat 24 tan menghempap kereta tersebut.
"Proses mengeluarkan mangsa hanya menjadi mudah selepas sebuah kren tiba untuk membantu dan proses itu selesai selepas kira-kira empat setengah jam," katanya.
Menurut Nor Rasidamawati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.
Katanya operasi menyelamatkan mangsa dilakukan tujuh anggota itu selesai kira-kira jam 2.10 petang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai