‘Sebelum mata tertutup, saya harap dapat sahut seruan Baitullah’
Keterujaan para jemaah haji untuk mengerjakan haji pada tahun ini bertukar kepada penerimaan hati yang ikhlas dan reda apabila kerajaan Malaysia memutuskan tidak akan menghantar jemaah haji bagi Musim Haji 1442 Hijrah.
Ini berikutan keputusan kerajaan Arab Saudi yang hanya membenarkan ibadah itu dilaksanakan oleh warganegara dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut disebabkan situasi semasa pandemik Covid-19.
Malaysiakini membuat tinjauan dalam kalangan bakal jemaah haji yang tidak dapat menjejakkan kaki ke tanah suci bagi menyempurnakan rukun Islam yang kelima itu tahun ini.
Seorang ibu kepada 10 orang anak, Raja Sakinah Raja Ibrahim, 55, yang sepatutnya menunaikan ibadah haji bersama suami sejak tahun lalu terus berharap diberi rezeki dan peluang untuk pergi ke tanah suci selagi nyawa dikandung badan.
Katanya, segala persiapan dari segi dokumen yang berkait serta suntikan vaksin sudah disiapkan dan hanya menunggu pelepasan daripada pihak Tabung Haji.
“Saya berharap, sebelum menutup mata, saya dapat menyahut seruan Baitullah bersama suami. Jika diberi umur yang panjang, harapnya agar dapat menjejakkan kaki ke sana.
“Perasaan paling menerujakan, apabila pada tahun lepas, nama dipanggil sebagai jemaah haji dan ini adalah rezeki kali pertama ke sana, tetapi terpaksa dibatalkan dan tahun ini pula, sekali lagi ibadah haji turut dibatalkan kerana kes Covid-19 semakin melonjak.
“Selain membuat suntikan vaksin Meningococcal Meningitis Quadrivalent yang menjadi syarat wajib semua bakal haji seluruh dunia, suntikan vaksin Covid-19 juga sudah selesai dua dos, tetapi suami belum kerana pada tahun ini, jemaah haji hanyalah dibenarkan kepada yang berumur 60 tahun ke bawah sahaja.
“Tapi dengan keputusan sekarang, saya reda, kerana kita hanya dapat merancang dan Tuhan juga merancang, dan perancangan Tuhan adalah sebaik-baiknya,”katanya ketika ditemui Malaysiakini di rumahnya, di Hutan Resam, Kota Bharu, Kelantan.
Pada 12 Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Zulkifli Mohamad menyatakan dia menerima panggilan telefon daripada Tuan Yang Terutama Dr Abdelfattah Sulaiman Mashat, Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi berkenaan keputusan Kerajaan Arab Saudi tentang penangguhan ibadah haji tahun ini.
Sementara itu, Aminah Ismail, 60, berkata, dia amat sedih kerana sekali lagi terpaksa melupakan hasratnya untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini apabila mendapat khabar pembatalan ibadah haji pada 12 Jun lalu.
“Saya dan suami berasa sedih kerana kami berharap untuk berangkat ke Makkah pada tahun lepas lagi dan pada tahun ini kami ada meletakkan sedikit harapan apabila pihak Tabung Haji menelefon kami untuk bersiap sedia jika panggilan berangkat dipanggil.
“Kami sudah melakukan persiapan dari segi suntikan vaksin dan sudah selesai dos kedua pada 9 Jun lalu, segala pakaian dan alat kelengakapan sudah dibuat dan hanya menunggu Tabung Haji panggil.
“Tetapi, selepas mendapat berita pembatalan hari Sabtu lalu, kami sedikit sedih tetapi akur memandangkan situasi Covid-19 semakin memuncak ketika ini.
“Harap-harap umur saya panjang untuk pergi ke sana. Saya berserah kepada takdir kerana segala ketentuan Tuhan adalah yang terbaik,” katanya.
Bagi seorang guru pula, Nik Maruan Nik Yaacob, 49, dia berkata situasi sebegini sudah dijangkakan oleh dia dan isteri, apabila melihat situasi Covid-19 di seluruh dunia.
Hasrat untuk menunaikan haji adalah sangat tinggi apabila mereka sudah membuat rayuan sejak tahun 2018 lagi, dan berjaya mendapat tempat pada 2020, tetapi keadaan pula tidak mengizinkan.
Namun, katanya, keputusan itu bukanlah disengajakan, ia sebagai langkah segera yang tepat demi mengekang risiko penularan Covid-19 di kota suci umat Islam itu.
“Tahun ini, pihak Tabung Haji ada menelefon saya dan bertanya tentang persiapan berangkat ke Makkah terutamanya suntikan vaksin. Saya dan isteri memang sudah mengambil suntikan vaksin ‘Meningococcal Quadrivalent’ dan baru-baru ini, kami telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 di KPJ Perdana, Kota Bharu.
“Segala dokumen sudah siap, hanya tunggu dihantar ke pihak Tabung Haji. Tetapi, keberangkatan ini dibatalkan dan kami sebenarnya sudah menjangkakan perkara sebegini akan berlaku,” katanya.
Dia berkata, dirinya sentiasa mengikuti perkembangan kes Covid-19 di Arab Saudi untuk berjaga-jaga dalam membuat apa-apa persiapan.
“Saya selalu mengikuti perkembangan semasa dan jika melihat kepada keadaan kes Covid-19 di Arab Saudi sendiri pun, ia mencecah sehingga 1500 kes sehari dan kemudian di Mekah sendiri sudah mencecah sehingga 500 kes sehari.
“Ini termasuk di negara Malaysia sendiri, keadaan masih tidak stabil, maka keputusan pembatalan ini sudah pasti diiringi dengan rasa sedih, tetapi ia adalah keputusan yang boleh dijangkakan dan kami menerimanya dengan reda,” jelasnya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai