MP gesa Zafrul bantu pemohon BPR, permudah kelulusan fasa 2
Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh menggesa Kementerian Kewangan bersikap fleksibel dalam meluluskan fasa kedua bantuan tunai Bantuan Prihatin Rakyat.
Wong menyatakan mereka yang tidak memenuhi syarat untuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Fasa 2 boleh mengemukakan rayuan mereka kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ia perlu dilakukan dengan membuat temu janji dengan LHDN tetapi banyak slot temu janji itu di seluruh negara sudah diisi.
Tempoh rayuan bermula pada 15 Jun dan akan berlangsung sehingga 30 Jun. Sementara itu, PKP 3.0 akan berakhir pada 28 Jun.
Wong (gambar, bawah) berkata walaupun rayuan itu juga dapat dilakukan secara dalam talian, namun mereka yang tidak mahir teknologi masih perlu mengunjungi pejabat LHDN.
Biarpun ada sistem janji temu, Wong menyatakan kebimbangan mungkin pada saat akhir, ramai yang akan berpusu-pusu di LHDN apabila PKP3.0 tamat.
"Akan menjadi bencana jika orang mulai berkumpul beramai-ramai di cawangan LHDN untuk menyerahkan dokumen rayuan hanya untuk mengejar tarikh akhir rayuan," katanya.
Wong berkata salah satu cara mempermudah prosesnya adalah dengan secara automatik meluluskan penerima yang memenuhi syarat untuk mendapatkan bantuan BPR semasa Fasa 1 untuk Fasa 2 juga.
"Tidak ada alasan bagi kerajaan untuk menyusahkan kehidupan rakyat dengan tidak meluluskan BPR Fasa 2 secara automatik kepada semua penerima BPR Fasa 1.
"Rakyat sangat memerlukan bantuan kerajaan sekarang setelah pengenaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 dan PKP 3.0 dalam tempoh pendek enam bulan tahun ini.
"Sebarang semakan semula kelayakan pemohon atau penerima tidak seharusnya menjadi keutamaan kerajaan sekarang kerana pastinya rakyat tidak akan menjadi lebih kaya pada Mei 2021 (BPR Fasa 2) berbanding Januari 2021 (BPR Fasa 1)," katanya.
Dia juga berkata kerajaan perlu memperuntukkan lebih banyak masa kepada pemohon untuk menyerahkan rayuan mereka.
Wong berkata proses rayuan memberi tekanan kepada pemohon dan mendesak Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz supaya bersikap lebih fleksibel.
"Saya menyeru Tengku Zafrul agar lebih praktikal dan fleksibel dalam menangani masalah rakyat dan mengurangkan birokrasi yang tidak perlu untuk memastikan bahawa bantuan kerajaan dapat sampai kepada rakyat secepat mungkin," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai