Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Data terbocor: RHB mulakan siasatan, tingkat kawalan keselamatan

Di tengah kebimbangan orang ramai terhadap kebocoran data, RHB Bank Bhd (RHB) hari ini meminta maaf atas kesilapan mereka mengeluarkan e-penyata yang mengakibatkan dokumen perbankan dihantar bukan kepada pelanggan sepatutnya.

Memberi jaminan bahawa keselamatan data tetap menjadi keutamaan, RHB berkata kejadian itu memberi kesan ke atas kurang daripada 0.5 peratus daripada keseluruhan pelanggan runcitnya di Malaysia.

RHB juga berkata mereka sudah melaksanakan langkah meningkatkan kawalan keselamatan.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB, Khairussaleh Ramli, dalam kenyataan hari ini berkata kesilapan mengeluarkan e-penyata akaun semasa itu berlaku disebabkan masalah teknikal di pihak rakan perkhidmatan luaran mereka.

"Kami meminta maaf setulusnya kepada semua pelanggan yang terkesan atas kesilapan tidak disengajakan dalam penerbitan e-penyata mereka.

"Kesalahan itu telah diperbaiki sebaik saja ia disedari dan pelanggan yang terjejas sudah dimaklumkan pada hari yang sama melalui e-mel dan SMS.

"Berikutan itu, e-penyata baru sedang dikirimkan kepada mereka," katanya.

Minta penerima hapus e-mel

Khairussaleh Ramli menambah siasatan sudah dijalankan bagi mengesan punca kesilapan tersebut.

"RHB ingin memberi jaminan kepada pelanggan bahawa keselamatan data mereka terus menjadi keutamaan kami. Siasatan masih dijalankan untuk menentukan punca kejadian.

"Pihak bank memandang serius perkara ini dan kami segera menerapkan langkah-langkah kawalan yang lebih baik untuk memastikan akses ke akaun perbankan pelanggan tidak terganggu serta tetap dilindungi setiap masa," katanya.

Awal hari ini, portal berita The Vibes melaporkan sebilangan pelanggan RHB mendakwa bahawa mereka menerima penyata akaun bank peribadi milik orang lain.

Berikutan itu, RBH mengirim e-mel kepada pelanggannya untuk memaklumkan berlaku kesilapan dan menggesa penerima untuk tidak membuka penyataan yang disalah kirim itu serta memadam e-mel tersebut.

"Lebih membimbangkan mereka mendakwa dapat mengakses e-penyata berkenaan menggunakan kata laluan mereka sendiri yang ditetapkan berdasarkan tarikh lahir pengguna.

"Antara data peribadi yang dapat diperoleh dari penyata tersebut termasuk nama lengkap pelanggan, alamat rumah, sejarah transaksi, jumlah gaji yang dan nombor akaun," kata laporan itu.