Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Maybank pertikai dakwaan beri pinjam RM30b pada syarikat ancam hutan

Malayan Banking Berhad (Maybank) mempertikai dakwaan bahawa bank itu memberikan pinjaman sebanyak AS$ 7.504 bilion (RM30.830 bilion) kepada syarikat yang berisiko mengancam alam sekitar dengan penebangan hutan.

Inisiatif dalam talian Forest and Finance sebelum ini membuat dakwaan itu dengan meletakkan bank Malaysia itu sebagai pemiutang ketujuh terbesar kepada "syarikat berisiko mengancam hutan". 

Antara tahun 2016 dan 2020, laman web tersebut mendakwa terdapat beberapa pelanggan utama Maybank dalam kategori berkenaan.

Ia juga mendakwa bank tersebut membuat pelaburan besar ke dalam firma yang berisiko terhadap hutan.

Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini semalam, Maybank berkata dakwaan Forest and Finance berbeza dengan rekod bank itu sendiri.

"Bank ini ingin menyatakan bahawa angka yang diterbitkan oleh Forest and Finance berbeza jauh daripada rekod kami dan termasuk syarikat di mana kami tidak mempunyai pendedahan pembiayaan," katanya.

Ketika diminta menjelaskan jumlah pinjaman yang tepat dan menyatakan syarikat mana yang tidak dibiayai, bank itu enggan berbuat demikian dengan menyebut kebimbangan mengenai faktor kerahsiaan.

"Maybank ingin menjelaskan bahawa selaras dengan undang-undang kerahsiaan perbankan, kami tidak boleh mengesahkan atau membincangkan hubungan perbankan yang mungkin atau tidak kami miliki, atau pernah, termasuk pendedahan kepada organisasi tertentu ," jawabnya.

Sistem 'ranking'  Forest and Finance adalah berdasarkan daftar 300 syarikat di seluruh dunia yang dikenal pasti sebagai "syarikat berisiko terhadap hutan" kerana operasi mereka dalam pengeluaran minyak sawit, soya, getah, kayu, daging lembu dan kertas.

Data terkini yang tersedia untuk umum digunakan untuk mengesan pembiayaan yang diterima oleh syarikat-syarikat ini.

Inisiatif ini adalah kerjasama antara kumpulan alam sekitar di seluruh dunia termasuk Sahabat Alam Malaysia, Rainforest Action Network, TuK Indonesia, Profundo dan Amazon Watch.

Polisi tiada penebangan hutan

Mengulas lanjut, Maybank berkata ia mengkehendaki pelanggan yang menjalankan operasi berkaitan kelapa sawit, perhutanan dan pembalakan mendapatkan sijil amalan lestari atau membuktikan hasrat ke arah itu.

"Sekiranya pelanggan kami tidak memiliki sijil yang diperlukan atau memenuhi kriteria yang relevan, mereka harus memberikan komitmen untuk mendapatkan sijil atau menerapkan praktik kelestarian dalam jangka waktu tertentu," tambahnya.

Bank itu berkata mereka menggunakan polisi "tiada penebangan hutan, tiada gambut baru, tiada eksploitasi" sejak Jan 2020 dan menyatakan komitmen untuk menghentikan pembiayaan kepada aktiviti arang batu baru.

Maybank berkata ia juga telah mengintegrasikan Dasar Sosial, Alam Sekitar dan Tadbir Urus (ESG) dalam pemberian pinjaman langsung, hutang, ekuiti dan khidmat nasihat.

“Dasar ESG kami meliputi, antara lain, Kriteria Penilaian Risiko (RAC) yang merupakan sebagaian penilaian risiko kredit dan proses membuat keputusan untuk perniagaan yang berada di bawah sektor berisiko tinggi ESG, termasuk perhutanan dan pembalakan serta minyak sawit.

"Pertimbangan ESG seperti risiko yang berkaitan dengan iklim, risiko penebangan hutan, risiko keselamatan dan kesihatan, eksploitasi buruh, ketelusan dan etika perniagaan dimasukkan ke dalam RAC," katanya.

[Baca berita penuh]