PICK salur vaksin CanSino untuk penduduk pedalaman Kelantan
Kelantan bakal menerima bekalan vaksin baru dikeluarkan CanSino Biologics dari China khususnya untuk diberikan kepada penduduk pedalaman dan Orang Asli.
Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata penggunaan vaksin tersebut sudah diluluskan kerajaan dan bekalan pertama akan diterima pada Julai ini.
"Vaksin ini hanya memerlukan suntikan satu dos sahaja. Sebahagian bekalan vaksin tersebut akan diberikan kepada Kelantan, khususnya membabitkan penduduk pedalaman dan masyarakat Orang Asli di Gua Musang," katanya.
Dia berkata demikian pada sidang media selepas menyuarat penyelarasan jawatankuasa PICK peringkat negeri yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pembekalan vaksin CanSino diluluskan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) semalam.
"Mesyuarat bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi dua produk vaksin yang memerlukan hanya satu dos pelalian, iaitu Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector), keluaran CanSino Biologics Inc, China dan Janssen Covid-19 Vaccine keluaran Johnson & Johnson," katanya.
Khairy yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi berkata, melalui pembekalan vaksin CanSino di kawasan pedalaman maka program vaksinasi lebih mudah dijayakan.
"Vaksin itu bersesuaian kerana petugas tidak perlu masuk ke kawasan Orang Asli dua kali untuk tujuan suntikan," katanya.
Dalam perkembangan berasingan pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara akan dibuka untuk suntikan tanpa janji temu (walk-in) selepas semua individu yang berdaftar selesai melengkapi dos masing-masing.
Menurut Khairy pihaknya menjangkakan proses suntikan vaksin akan diselesaikan akhir tahun ini atau lebih awal.
"Untuk peringkat keseluruhan, kerajaan yakin selepas selesai suntikan vaksin kepada mereka yang berdaftar, kita akan buka secara walk-in di semua PPV," jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai