Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penjara Kelantan sesak, mohon percepat vaksin banduan

Keadaan penjara di Kelantan yang sesak dibimbangi berisiko penularan wabak Covid-19.

Susulan itu, Pengarah Penjara Kelantan, Mat Yaacob berharap agar pemberian vaksin dalam kalangan banduan dipercepatkan.

Pengarah Penjara Kelantan, Mat Yaacob berkata, pihaknya mengemukakan permohonan itu kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).

Menurutnya, setakat ini ada berlaku jangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan walaupun jumlahnya sangat kecil di samping turut menyediakan pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) di penjara.

"Sehingga kini, jumlah banduan di empat penjara dan empat parol di negeri ini lebih 5,000 orang dan berlaku kesesakan.

"Jumlah sebenar yang dapat ditampung oleh penjara dan parol adalah seramai lebih 3,000 orang sahaja. Jadi terdapat lebihan banduan sebanyak 85 peratus.

"Kesesakan ini membimbangkan kerana kesemua banduan tidak mengambil vaksin dan kita risau jika ada jangkitan di penjara, ia boleh merebak kepada kakitangan serta ahli keluarga," katanya pada sidang media di Program Outreach Vaksinasi kakitangan dan ahli keluarga di Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini.

Seramai 2,000 individu yang akan divaksinasi dalam program selama lima hari yang bermula semalam melibatkan kakitangan penjara Kelantan ahli keluarga dan masyarakat sekitar.

Sementara itu Mat berkata, PKRC yang diwujudkan di penjara dipantau pihaknya dengan bantuan pegawai perubatan bagi mengawal jangkitan Covid-19.

"Alhamdulillah, kes di penjara buat masa ini sangat kecil kerana pihak kita terus mengasingkan banduan yang positif Covid-19 untuk dikuarantin di PKRC," katanya.