Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Tersungkur di pintu belakang ‘lockdown’

Ketika ada menteri yang berseloroh makan mi Maggi seolah-olah hidup susah, saya sendiri tidak dapat menggambarkan sepenuhnya realiti kesusahan rakyat di kala kemelesetan ekonomi dan PKP sekarang.

Baru-baru ini, saya telah membantu sepasang suami isteri muda yang terpaksa tinggal di tepi jalan raya. Mereka berhijrah dari Tanah Merah demi kehidupan yang lebih baik, tetapi oleh sebab PKP, rancangan mereka untuk mencari kerja tergendala. Shah dan Siti bukan malas. Dari awal pagi sampai lewat petang, mereka akan keluar mencari kotak-kotak kadbod dan barang-barang boleh dikitar semula dari lorong-lorong belakang dan tempat pembuangan sampah. Apabila dijual, bolehlah mendapat RM10-RM20 sehari; cukup untuk Shah dan Siti membeli bekalan mi Maggi buat pengisi perut demi meneruskan hidup.

Menteri-menteri dengan bangga memperagakan prestasi pelaburan. Tapi adakah para pembesar ini juga bertanya sama ada pelaburan berbilion-bilion tersebut memberi manfaat kepada rakyat biasa? Ya, tauke-tauke besar menjadi semakin kaya. Pada tahun ini, 50 orang jutawan terkaya di Malaysia berjaya menambahkan RM45.6 bilion kepada kekayaan terkumpul mereka menjadikannya RM371.1 bilion. Bandingkan jumlah ini dengan 100,000 perusahaan kecil dan sederhana yang telah gulung tikar sejak PKP 1.0 sehingga sekarang. Malah Persatuan SME Malaysia sudah memberi amaran bahawa jika lockdown kali ini dilanjutkan untuk sebulan, sekurang-kurangnya 50,000 perniagaan kecil sederhana Malaysia akan tutup kedai. Di kalangan tauke sekalipun ada yang berkasta kayangan manakala yang lain terpaksa bergelut dengan cabaran pandemik.

Kuasa itu memang enak, semacam madu. Saya masih ingat lagi mereka yang meleleh air liur ingin merasa madu kuasa ini berpidato kepada kita bagaimana mereka ialah juruselamat konon menyelamatkan rakyat daripada "22 bulan" sedangkan mereka juga antara watak-watak utama 22 bulan itu. Mereka berpura-pura mengaku menjadi ayah kita, pak long kita, pak ngah kita, sebagai justifikasi melahap madu kuasa yang menjadi idaman mereka.

Selama setahun ini, rakyat disuruh berkurung di rumah. Mereka kata, jangan risau, kerajaan prihatin dan akan beri bantuan.

Anak-anak kita sudah hilang masa persekolahan normal lebih setahun. Apa akan jadi kepada lima juta pelajar sekolah generasi ini yang bakal kehilangan dua tahun persekolahan normal?

Kisah Khai

Kalau perlu belajar secara online pun, 150,000 buah laptop yang dijanjikan tidak sampai-sampai. Ada seorang pelajar tingkatan empat di kawasan saya, namanya Khai. Pada suatu hari neneknya membawa Khai ke pejabat saya menangis merayu supaya saya membantu cucunya.

"Kami miskin tapi saya tak mahu duit, saya hanya mahu cucu saya dapat terus belajar."

Hati saya renyuk berkecai. Khai yang tiada ibu bapa, terpaksa menggunakan telefon bimbit jenis lama neneknya untuk menghantar SMS kepada guru sekolah setiap hari bagi mendapatkan panduan apa yang perlu dibaca, sebab dia tidak ada peranti untuk mengikuti PdPR. Saya sudah berikan sebuah laptop baru kepada Khai dan mengagihkan lebih 500 buah laptop dan tablet kepada anak-anak di kawasan saya. Di sebalik semua ini, saya terpaksa menanggung masyghul yang tidak terhingga mendengar lebih 500 kisah anak-anak yang tiada kemudahan belajar atas talian.

Ini kes anak-anak tak ada laptop. Bagaimana pula dengan kes anak-anak yang tak ada makanan? Saya sudah pernah tulis tentang fenomena Orang Miskin Baru (OMB). Mereka ini merupakan orang yang tiba-tiba menjadi miskin kerana kehilangan sebahagian atau kesemua pendapatan mereka. Kumpulan M40 yang kini menjadi B40 dan kumpulan B40 yang kini tergolong sebagai miskin.

Teoh, seorang peniaga pakaian di pasar malam sudah hampir setahun tak berniaga, kalau dapat berniaga pun barang tak laku. Isterinya kini terpaksa buka gerai jual makanan secara kecil-kecilan. Walaupun susah, Teoh segan untuk minta bantuan, sebab dia belum pernah meminta bantuan seumur hidupnya. Kalau nak pohon bantuan sekalipun, tak tahu nak pohon di mana. Tapi oleh sebab sudah terdesak, dia terpaksa juga "menebal muka" menelefon salah seorang staff saya minta bantuan bekalan makanan. Teoh merupakan salah seorang daripada ramai OMB yang telah tersungkur akibat kegagalan kerajaan menguruskan pandemik dan memberi bantuan secukupnya kepada rakyat.

Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, harga barang menjadi kian mahal walaupun ramai rakyat Malaysia menjadi kian miskin. Kadar inflasi berada pada tahap tertinggi sejak 2018 dan kadar inflasi di luar bandar (4.9%) lebih tinggi berbanding di bandar (4.6%). Dalam kata lain, orang kampung terpaksa berdepan kenaikan harga barang yang lebih tinggi.

Menteri-menteri yang kononnya ayah, pak long, pak ngah akhirnya menjadi pembela kapitalis, pelakon rider e-hailing, beracah-acah nak jadi Steve Jobs, penghias poster ucapan perayaan dan ada yang hilang entah ke mana tak pernah nampak muka tembam yang kenyang melahap madu kuasa.

Di mana 50 jutawan terkaya?

Di masa 50 orang jutawan terkaya Malaysia berjaya menambah RM45.6 bilion ke dalam kantung wang peribadi mereka, kerajaan hanya membelanjakan RM73 bilion sebagai pakej rangsangan ekonomi untuk membantu 30 juta rakyat Malaysia.

Di masa rakyat terdesak sehingga terpaksa memecah tabung simpanan hari tua KWSP sebanyak RM78 bilion untuk mengharungi cabaran ekonomi Covid-19, para menteri tidak sanggup menyuruh industri bank membelanjakan RM6.4 bilion untuk memberi moratorium automatik pinjaman bank supaya kita semua boleh bernafas sedikit.

Setiap tindakan kerajaan bukan sahaja memberi kesan kepada poket rakyat malah melibatkan nyawa rakyat.

Pada bulan Mei yang lalu, saya telah menziarahi sepasang suami isteri tua, Encik Ng, berumur 78 tahun dan isterinya berumur 72 tahun. Anak tunggal mereka yang mereka bergantung hidup dan menaruh kasih di hari tua telah membunuh diri kerana tekanan hidup akibat kehilangan perniagaan dan pekerjaan dalam tempoh PKP. Sedih tapi ini bukan kes terpencil.

Sejak PKP 1.0 sehingga kini, sudah lebih 120,000 panggilan diterima oleh agensi kerajaan membabitkan masalah kesihatan mental berpunca daripada kehilangan kerja, masalah keluarga dan tekanan disebabkan tidak menerima bantuan. Malah pada tahun 2020, ada sebanyak 1,080 kes bunuh diri yang dirawat di hospital kerajaan.

Menteri masih boleh dengan bangga kata pengangguran menurun pada suku pertama 2021 kepada 4.8%. Tapi apa maksud semua angka ini kepada rakyat biasa? Di sebalik graf dan carta dan statistik, terdapat seramai 771,800 orang rakyat Malaysia yang menganggur. Dalam tempoh tiga bulan pelaksanaan PKP 2.0 sahaja, seramai 130,000 orang telah hilang kerja akibat penutupan perniagaan. Ini tidak termasuk mereka yang terpaksa menerima potongan gaji, ataupun cuti tanpa gaji, penjaja dan peniaga kecil yang tidak dapat berniaga, serta pemandu teksi dan e-hailing yang berhari-hari menunggu job yang tidak kesampaian. Berapa ramai lagi yang akan menempa nasib buruk yang sama sepanjang PKP 'total lockdown' sekarang?

Ada menteri dengan angkuh berkata, jika Pakatan Harapan memerintah akan ada lebih ramai orang yang mati akibat Covid-19. Orang politik boleh cuba menipu, tetapi sejarah jua akan melondehkan segala-galanya.

Apabila para menteri yang sekarang ini menulis esei panjang lebar menyalahkan kerajaan sendiri, saling menuding jari, sindir-menyindir dalam media sosial, ketika mereka membuat perikatan khianat merampas kuasa pada Februari 2020, tiada lagi sebarang kes kematian Covid-19 direkodkan. Sehingga kini sudah seramai 3,908 orang mati (13 Jun 2021) akibat Covid-19. 3,908 ini bukan hanya angka dan statistik, tetapi nyawa melayang begitu sahaja di tangan pemerintah. Setiap mereka ada keluarga, ada sahabat handai. Kenalan kita mungkin mangsa seterusnya.

Kegagalan tragis

Kegagalan kerajaan kali ini amat tragis. Mereka mendakwa mereka lebih layak menjadi kerajaan. Sesudah khianat dan beroleh kuasa, mereka tidak fokus kepada menguruskan negara, enggan mendengar nasihat dan pandangan, malah Parlimen di mana suara rakyat bergema dikatup begitu saja seakan-akan kerajaan jijik mendengar suara rakyat lalu cuba membungkam suara tersebut. Setelah setahun mereka berkuasa, negara menjadi porak peranda yang tidak pernah terjadi dalam sejarah. Namun nampaknya, para menteri masih lena dibuai kekenyangan melahap ghanimah.

Kedua-duanya mungkin makan mi Maggi, kedua-duanya mungkin berlegar di pintu belakang, tapi beza antara menteri dan murbawan ialah, satu sedang berasak-asak merompak kuasa dan berebut kuasa manakala satu lagi, seperti Shah dan Siti, sedang terdesak membalik-balik sampah demi sesuap nasi… atau mi Maggi, menanti masa untuk tersungkur.


STEVEN SIM ialah ahli parlimen Bukit Mertajam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.