Penganggur mengaku tak bersalah seret kucing atas jalan raya
Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini atas pertuduhan menyeret seekor kucing di atas jalan di Kampung Attaduri, Langkap pada 3 Jun lepas.
Azizul Salahuddin, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan majistret Adilah Mokhtar.
Dia didakwa secara tidak munasabah menyebabkan penderitaan kepada haiwan itu dengan menyeretnya di atas jalan kira-kira jam 6.30 petang.
Pertuduhan mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Nor Azimah Che Ismail manakala peguam S Kumaresan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan mewakili tertuduh.
Mahkamah membenarkan Azizul diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Julai untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata lelaki itu ditahan ketika hadir untuk membuat laporan penafian selepas diberitahu keluarganya berkaitan video yang tular di laman media sosial di Balai Polis Langkap pada kira-kira jam 9.15 malam pada 4 Jun.
Rakaman tular berdurasi 34 saat itu memaparkan seorang lelaki menyeret seekor kucing dengan menunggang motosikal dan mendapat kecaman netizen yang mahu lelaki tersebut diambil tindakan sewajarnya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai