‘Ada bahagian anda walaupun sekadar satu hidangan’
“Jangan rasa bimbang@segan untuk hubungi saya secara peribadi. It’s my pleasure untuk berkongsi sedikit sebanyak apa yang saya ada, semampunya. Insya-Allah, ada bahagian anda dalam rezeki saya walaupun sekadar satu hidangan makanan.”
Itu antara status yang tular dan banyak dikongsi oleh pengguna media sosial tatkala kerajaan mengambil langkah mengenakan perintah sekatan pergerakan penuh sejak 1 Jun lepas berikutan kes Covid-19 yang semakin meningkat.
Pastinya dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dan penutupan sektor ekonomi yang bukan menjadi keperluan, ramai yang terkesan serta hilang punca pendapatan terutamanya golongan B40 menyebabkan netizen Malaysia bersatu tampil berkongsi rezeki sama ada secara individu mahupun menerusi persatuan.
Bagi Zally Ismail, 38 yang menetap di Kulim, Kedah, beliau terpanggil untuk memuat naik status itu setelah terbaca perkongsian kisah menimpa individu yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan terutama mereka yang bekerja sendiri dan berpendapatan rendah.
Katanya susulan perkongsian hantaran tersebut di akaun Facebooknya, ramai yang telah menghubunginya memohon bantuan termasuk dari Sabah dan Sarawak sehingga tidak cukup tangan untuk membalasnya.
“Ada yang suaminya hilang kerja beberapa hari sebelum ‘lockdown’ dan kehabisan susu serta lampin menyebabkan mereka tiada pilihan sehingga terpaksa menggantikannya dengan dengan minuman milo dan sirap yang jauh lebih murah walaupun ia tidak sesuai untuk anak yang masih bayi.
“Ditanya kenapa tidak meminta bantuan jiran atau keluarga berhampiran?, ada yang memaklumkan sudah berbuat sedemikian sehingga ada yang minta anak-anaknya pergi makan di rumah jiran. Tetapi kalau sudah hari-hari berbuat demikian, tentulah ada perasaan malu,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurutnya, setakat ini lebih 60 keluarga telah dibantu dan bantuan biasanya dihulurkan setelah ia diselidik dengan teliti berserta bukti sokongan dengan keutamaan diberikan kepada pasangan suami-isteri telah diberhentikan kerja atau sakit.
Katanya bantuan berupa bihun, mi segera, sardin, minyak, tepung diberikan untuk kegunaan seminggu atau dua, namun ramai juga yang mengharapkan lampin dan susu bayi.
Bagi seorang lagi pengguna media sosial Mohd Nizam Mat Rahim, 49, dari Bukit Beruntong Selangor, kesusahan yang pernah dialami sebelum ini menyebabkan beliau insaf dan memahami keadaan yang terpaksa dilalui apabila sumber pendapatan terjejas.
“Saya sendiri sebagai pengusaha kantin sekolah, telah melalui kesusahan apabila sudah hampir setahun sekolah tidak dibuka sehingga menjejaskan pendapatan saya. Dengan apa yang ada, saya kongsikan kepada mereka yang lebih memerlukan walaupun sedikit,” katanya.
Katanya bantuan yang diberikan itu berupa barangan asas dapur dengan anggaran nilai sebanyak RM60 bagi satu keluarga dan sehingga kini beliau telah membantu lapan keluarga yang tinggal berdekatan.
Sementara itu, Ivan Chan, 41, pula mengambil pendekatan membuka ‘food bank’ di cawangan kedainya, kEATchen, yang berkonsepkan ‘cloud kitchen’ di Petaling Jaya bagi membantu masyarakat yang terjejas ekoran pelaksanaan sekatan perjalanan.
“Saya pernah menerima panggilan daripada seorang kenalan yang memerlukan bantuan atas faktor kehilangan kerja selama setahun dan simpati dengan situasi yang dialami itu, saya gunakan premis perniagaan saya sebagai tempat untuk mengedarkan makanan bagi membantu masyarakat yang menghadapi situasi yang sama,” katanya.
Ivan berkata sejak hari pertama pembukaan food bank tersebut pada 30 Mei lepas, lebih RM50,000 telah dibelanjakan untuk membeli makanan asas seperti gula, minyak masak, dan beras dengan 500 bungkus diedarkan setiap hari.
Sementara itu seorang penerima Siti Zaharah Ismail, 35, berkata bantuan yang diterimanya sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga memandangkan suaminya yang menghidap asma bergantung hanya daripada hasil menoreh getah di kampungnya di Bandar Baharu, Kedah.
“Sejak PKP, operasi kilang kadang-kadang buka, kadang-kadang tutup, jadi suami tidak dapat menjualnya secara konsisten seperti dulu sehingga menjejaskan pendapatan kami sekeluarga.
“Oleh itu, saya tebalkan juga muka mohon bantuan apabila melihat status yang menawarkan bantuan barangan dapur oleh sesorang hamba Allah walaupun sebelum ini tak pernah berbuat sedemikian.
"Rasa malu itu ada kerana mungkin ada keluarga yang lain lebih layak memerlukan, saya hanya mencuba nasib dan tidak sangka ada hamba Allah itu sudi membantu,” katanya yang mempunyai tiga anak berusia antara sembilan hingga setahun.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai