Hisham: Jangan biar karenah birokrasi halang bantuan Covid-19
Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein menggesa kerajaan belajar daripada kesilapan lalu dalam usaha melawan wabak Covid-19.
Hishamuddin berkata, karenah birokrasi menghalang Malaysia daripada menerima bantuan negara luar, ketika rakyat negara ini kian gelisah dan letih menghadapi wabak ini.
Bekas naib presiden Umno itu juga bimbang kemungkinan negara hilang keseimbangan antara mengutamakan kesihatan awam atau kepentingan ekonomi.
"Hari ini, selepas lebih 450 hari – kita mesti melihat kembali apa yang telah kita lakukan dan memikirkan kewajarannya.
"Perkara yang tidak kita ketahui tahun lalu bukan lagi misteri sepenuhnya. Fokus kita sebelum ini adalah mencapai keseimbangan antara nyawa dan keperluan hidup yang mana inilah keutamaan usaha kita.
"Namun semakin hari, kita semakin hilang keseimbangan antara mengutamakan kesihatan awam dan kepentingan ekonomi.
"Dari sudut pemerhatian saya sebagai Menteri Luar Negeri – selepas banyak berkomunikasi dengan rakan sejawat, terutama berkongsi pengalaman dan amalan terbaik negara masing-masing, saya secara ikhlas ingin membuat tiga cadangan mudah mengenai perkara yang harus kita fokuskan demi membawa kita keluar dari 'paradoks pandemik' ini," katanya dalam tulisan di blognya hari ini.
Pertama, katanya, titik persamaan harus dicari dalam mengimbangi kepentingan untuk melindungi serta menyelamatkan nyawa dan membuka sektor ekonomi bagi menampung keperluan hidup.
"Dengan PKP sedang dilaksanakan, sepatutnya tiada lagi perubahan dan kita mesti konsisten dengan SOP sedia ada. Perubahan yang tidak perlu dan bersifat reaktif hanya akan merencatkan semua yang telah kita capai setakat ini," tambahnya.
Selain itu Hishammuddin juga menggesa kerajaan mempercepat pemberian vaksin Covid-19.
"Rakyat Malaysia pada awalnya yakin dengan pendekatan proaktif Kerajaan dalam menetapkan pemberian vaksin secara berfasa serta keberhasilan awal mendapatkan bekalan vaksin.
"Tetapi kita mesti faham mengapa hari ini rakyat Malaysia menggesa pemberian vaksin dipercepatkan – bilangan kes harian yang meningkat telah menimbulkan ketakutan, kekecewaan dan keresahan," katanya.
HIshammuddin berkata di sesetengah negara menyaksikan ketakutan ini semakin pudar setelah pemberian vaksin dipercepatkan seperti di United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Sehubungan itu anggota Parlimen Sembrong tersebut meminta kerajaan mempertimbangkan untuk memperluaskan vaksin bagi mengatasi kebimbangan ini.
Setakat ini, katanya, Malaysia hanya meluluskan penggunaan vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca sedangkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah menyenaraikan Johnson & Johnson, Moderna dan Sinopharm untuk kegunaan kecemasan di seluruh dunia.
"Ya, saya faham pihak berkuasa berkaitan di negara kita perlu melakukan proses pengesahan dan penyiasatan secara teliti (due diligence).
"Tetapi dalam berdepan situasi tidak normal seperti hari ini, kita tidak boleh gunakan prosedur biasa. Agensi-agensi kita mesti bergerak seiring dengan badan antarabangsa – pantas dalam menetapkan kelulusan kecemasan," tambahnya.
Hishammuddin berkata banyak negara juga menawarkan bantuan tetapi karenah birokrasi menjadi penghalang utama pelaksanaannya.
"Tawaran bantuan ini seharusnya diterima dengan kesungguhan dan bukannya keengganan.
"Sekiranya tawaran ini tidak diterima dengan bersungguh-sungguh, ia berisiko menggugat hubungan diplomatik atau lebih teruk lagi menjejaskan integriti negara kita di pentas antarabangsa. Saya rasa ini bukan risiko yang wajar kita ambil," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai