Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Komputer riba lebih memudahkan pembelajaran, kata 3 pelajar Ketereh

Rezeki dalam sekatan pergerakan penuh.

Selepas kisah empat pelajar di sebuah kampung di Ketereh, Kelantan menghadapi kesukaran mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dilaporkan Malaysiakini, bantuan datang lagi.

Kali ini tiga daripada mereka menerima sumbangan disampaikan Pertubuhan Kebajikan Dana Insan Malaysia (Dana Insan Malaysia). Ia tiba ketika sesi 

Semalam, Shamimi Syafiqah Rosli, 16, serta pasangan adik-beradik Anis Ariney Asri, 20, dan Aliesyaa Arieyanna Asri, 15, menerima sebuah komputer riba setiap seorang.

Peranti itu tiba ke rumah mereka - sehari sebelum sesi persekolahan dibuka - melalui perkhidmatan pos susulan negara sedang berhadapan dengan sekatan pergerakan penuh.

Pengerusi Dana Insan, Ahmad Shukri Yusoff, berkata pihaknya menghubungi kesemua pelajar itu untuk menyalurkan bantuan komputer riba selepas Malaysiakini melaporkan kesukaran dihadapi mereka baru-baru ini. 

"Alhamdulillah, lewat petang semalam Dana Insan Malaysia menghantar komputer riba melalui penghantaran kurier kepada adik Anis Ariney dan Aliesya Arieyanna yang merupakan adik beradik dan rakan sekampung mereka, adik Shamimie Shafiqah.

"Walaupun pasukan kerja Dana Insan Malaysia tidak dapat hadir sendiri menyerahkan komputer riba, namun apabila mendengar reaksi gembira dari mereka bertiga cukup membuatkan kami rasa lebih bersemangat untuk meneruskan misi bantuan kepada masyarakat.

"Semoga tiga rakan sekampung ini dapat memanfaatkan komputer riba yang diterima ini sebaik mungkin dan kami mendoakan satu hari nanti mereka berjaya dalam pelajaran dan dapat berbakti semula kepada masyarakat," dalam hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, kesemua pelajar tersebut - kecuali Aliesyaa Arieyanna - sudah menerima bantuan tablet daripada Anggota Parlimen Ketereh, Annuar Musa yang disampaikan melalui wakilnya

Dengan bantuan komputer riba ini, mereka yakin ia dapat memudahkan lagi kerja mereka untuk menghadapi PdPR.

Anis Ariney Asri, 20, berkata dia bersyukur kerana mendapat bantuan daripada beberapa pihak yang prihatin terhadap dirinya dalam menghadapi PdPR.

"Saya bersyukur kerana mendapat bantuan komputer riba kerana ini akan memudahkan saya untuk membuat kerja memandangkan saya akan memasuki alam universiti tidak lama lagi.

"Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Dana Insan Malaysia atas sumbangan yang diberikan kepada saya dan adik.

"Secara tidak langsung ia telah memudahkan urusan pembelajaran kami sepanjang proses PdPR di rumah ini. Kami akan gunakan kemudahan ini dengan sebaik mungkin," ujarnya ketika dihubungi Malaysiakini.