MP: Lanjutan subsidi upah sebulan tak memadai
Lanjutan satu bulan program subsidi upah tidak memadai memandangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) telah dilanjutkan, kata Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh.
"Apa yang ingin dicapai kerajaan dengan subsidi sebulan dengan kadar RM600 untuk setiap pekerja ketika kebanyakan PKS (Perusahaan kecil dan sederhana) perlu menangguhkan operasi selama empat minggu?
"Jelas terlalu sedikit dilakukan untuk menyelamatkan pekerjaan," kata Wong dalam satu kenyataan hari ini.
Wong berkata program subsidi upah perlu dilaksanakan seperti tahun lalu, di mana syarikat yang layak boleh memohon subsidi sehingga RM1,200 bagi setiap pekerja selama tiga bulan.
Program Subsidi Upah 3.0 - diumumkan sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan Pemerkasa Plus.
Program ini dimulakan pada bulan Januari ketika kebanyakan perniagaan boleh beroperasi seperti biasa, walaupun PKP dilaksanakan.
Ia melibatkan subsidi RM600 kepada syarikat untuk setiap pekerja dengan gaji bulanan di bawah RM4,000. Sebagai syarat, syarikat mesti menunjukkan penurunan pendapatan sekurang-kurangnya 30 peratus.
Bagi pemohon yang bukan daripada industri pelancongan atau runcit, hanya sebulan subsidi gaji diberikan.
Di bawah sekatan pergerakan penuh atau "total lockdown" yang dilaksanakan dari 1 Jun hingga 28 Jun, kebanyakan perniagaan terpaksa ditutup.
Wong berkata ketika PKP tahun lalu, kerajaan menyediakan bantuan khas bernilai RM5 bilion bagi membantu sektor perniagaan, tetapi tidak kali ini.
Wong juga menggesa kerajaan memberikan moratorium pinjaman bank selama tiga bulan secara automatik untuk semua perniagaan dan kepada perniagaan yang tidak termasuk dalam kategori 20 teratas secara opt-out.
Katanya, langkah itu tidak akan melibatkan kos kepada kerajaan mahupun bank, kerana faedah yang terkumpul hanya akan ditangguhkan.
Tidak seperti kebanyakan perniagaan, sebilangan besar bank tempatan melaporkan keuntungan pada suku pertama tahun ini.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, bagaimanapun berkata moratorium menyeluruh tidak dapat dilaksanakan tanpa kos ditanggung kerajaan
Katanya, setiap pendekatan wajib oleh kerajaan harus disesuaikan dengan pampasan kepada pihak yang terlibat.
Semalam, Gabungan Persatuan Perniagaan Utama Malaysia yang dikenali sebagai Inisiatif Moratorium Untuk Rakyat menggesa kerajaan melaksanakan moratorium pinjaman bank secara automatik secara optimum sehingga 31 Disember, atau apabila komuniti kelompok tercapai.
Mereka berpendapat bank-bank telah diselamatkan dengan dana kerajaan sebelum ini dan telah memperoleh berbilion-bilion selama tiga tahun lalu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai