Selepas Dr M menghadap Agong, Pejuang gesa parti diluluskan segera
Dua hari selepas Dr Mahathir Mohamad menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pejuang menggesa agar pendaftaran parti itu diluluskan segera.
Setiausaha Agung Pejuang, Amiruddin Hamzah berkata parti itu amat menghargai dan menjunjung kasih di atas perkenan Baginda yang telah menerima menghadap Pengerusi Pejuang itu sebagai salah seorang pimpinan parti politik di negara ini.
"Namun, sekalipun Tuanku Yang Di-Pertuan Agong telah mengiktiraf Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pimpinan sebuah parti politik berdasarkan jemputan tersebut, apa yang menghairankan adalah pendirian kerajaan Perikatan Nasional melalui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang masih sehingga kini tidak membuat sebarang keputusan untuk meluluskan pendaftaran Pejuang dan berusaha untuk menggunakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk menghalang gerakan Pejuang sebagai sebuah parti politik yang sah," katanya.
Kata Amiruddin, tindakan melengah-lengahkan pendaftaran Pejuang benar-benar bermotifkan politik dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.
"Pejuang menzahirkan rasa kekesalan terhadap sikap pimpinan kerajaan Perikatan Nasional yang cuba menghalang pilihan rakyat untuk menyertai parti politik dan bertanding dalam pilihan raya dalam sebuah sistem demokrasi," katanya.
Justeru, Pejuang menggesa Hamzah untuk meluluskan pendaftaran parti itu dengan kadar segera.
Khamis lalu Mahathir antara pemimpin parti politik yang diterima menghadap Al Sultan Abdullah di Istana Negara.
Pada pertemuan itu, Mahathir mencadangkan penubuhan sebuah badan khas seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) untuk menangani cabaran dihadapi Malaysia, meliputi krisis wabak Covid-19 dan kesannya terhadap ekonomi.
Pada 21 Mei lalu, Pejuang memaklumkan parti itu menerima amaran keras daripada ROS untuk menghentikan segala aktiviti keahlian dan penggunaan logo parti.
Pejuang sebelum ini mengajukan semakan kehakiman untuk memaksa Hamzah dan ROS membuat keputusan mengenai rayuan pendaftaran parti mereka.
Hamzah dalam afidavit mahkamah menjelaskan alasannya untuk mengambil masa yang lama bagi memutuskan rayuan pendaftaran Pejuang.
Antara lain, Hamzah mengatakan dalam afidavitnya bahawa dia menerima rayuan Pejuang pada 8 Januari 2021 tetapi kemudian dia dimasukkan ke hospital akibat Covid-19 dari 12 hingga 24 Januari 2021, sebelum meneruskan kuarantin rumah hingga 1 Februari.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai