Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Antipelarian Rohingya, NGO kecam 'NTF munafik'

Pasukan petugas khas kebangsaan (NTF) yang melakukan rondaan sempadan dan aktiviti penguatkuasaan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) telah diarahkan untuk memberi amaran kepada pelarian Rohingya yang melarikan diri dari rejim junta Myanmar bahawa kedatangan mereka di Malaysia tidak dialu-alukan.

Aktivis hak asasi migran berkata sikap yang diambil oleh NTF hari ini adalah 'munafik' (hipokrit), terutama apabila mengambil kira sokongan kerajaan terhadap rakyat Palestin bagi membebaskan diri dari serangan oleh rejim Zionis Israel.

Jabatan Imigresen Malaysia di Twitternya hari ini telah berkongsi poster dari NTF yang menunjukkan tiga anggota bersenjata membabitkan polis, tentera dan penguatkuasa maritim dengan latar belakang pelarian yang berlayar dengan kapal kayu di laut lepas.

Tertera tulisan dalam Bahasa Malaysia: "Migran etnik Rohingya, kedatangan anda tidak diundang".

Dalang dan sindiket yang terlibat akan diburu untuk memerangi jenayah rentas sempadan dan jenayah lain, kata ciapan jabatan itu di Twitternya yang kemudian dipadamkan.

Pengarah Eksekutif Amnesty-International Malaysia Katrina Jorene Maliamauv menyifatkan mesej NTF sebagai "keji" dan "melampau".

"Adalah keji untuk mengatakan kepada masyarakat yang telah melalui pembunuhan beramai-ramai pembersihan etnik, yang telah mengalami kekejaman yang tidak dapat dibayangkan selama beberapa generasi, bahawa mereka bukan sahaja tidak diingini di negara kita, tetapi kita akan menggunakan kekerasan terhadap mereka.

"Ini juga sangat aneh daripada para pemimpin yang akan berkokok kepada masyarakat antarabangsa tentang keprihatinan mereka terhadap rakyat Palestin pada satu minggu, kemudian pada waktu berikutnya, mengancam keganasan terhadap orang lain yang mengalami trauma dan dihalau," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

"Bagaimana kerajaan Malaysia membenarkan kemunafikan ini," soalnya.

Di Twitter, pengkritik mengingatkan kerajaan Malaysia mengenai usaha dan solidariti mereka dengan pelarian Rohingya selama ini, termasuk perhimpunan besar 2016 yang menyatukan pemimpin tertinggi Umno dan PAS diketuai oleh perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Warga maya lain turut mengejek mesej yang cuba disampaikan pada ciapan yang dipadam itu juga mempersoalkan apakah pelarian Rohingya yang cuba memasuki Malaysia boleh membacanya.

Pengarah eksekutif Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira, berkata kerajaan salah mengenal pasti pendatang dan pelarian Rohingya sebagai musuhnya, terutama semasa perang melawan Covid-19.

"Ini adalah propaganda yang tidak perlu yang menimbulkan persepsi masyarakat yang negatif. 

"Musuh sebenarnya adalah pemerdagang manusia dan penyeludup. Bukan pelarian dan pencari suaka," kata Pereira.

Dia seterusnya menyentuh isu-isu yang tidak dapat diselesaikan yang diketengahkan dalam dua laporan utama kerajaan mengenai pengurusan pekerja migran termasuk yang tidak memiliki dokumen.

"Kami tidak mengatakan (kerajaan perlu) menghentikan semua penguatkuasaan tetapi jangan menimbulkan persepsi salah terhadap isu-isu (pelarian)," katanya.

Malaysia tidak menandatangani perjanjian PBB, Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967 dan tidak mempunyai kerangka undang-undang atau pentadbiran untuk mengatur status dan hak pelarian.

'Kesan terhadap pelarian di sini'

Maliamauv dan Pereira berkata amaran itu - yang kononnya untuk menghalang kedatangan pelarian baru - akan menyebabkan lebih banyak bahaya kepada pendatang.

"Mereka telah memperkatakan kesan serius terhadap kesihatan mental mereka, tentang menerima ancaman terhadap kehidupan mereka.

"Terdapat peningkatan kes bunuh diri di kalangan pendatang dan pencari suaka," kata Maliamauv.

"Jangan buat silap, 'komunikasi strategik' dan dasar seperti ini memupuk iklim kebencian, keganasan dan xenofobia (benci orang asing). 

"Mereka memudaratkan nyawa, mereka menghukum orang kerana cuba untuk meneruskan hidup, mereka membenarkan diskriminasi.

Gambar fail, Rohingya mangsa penindasan di Myanmar.

"Kita boleh memilih untuk membelanjakan begitu banyak wang dan sumber untuk tindakan kekerasan dan kebencian atau kita dapat mencipta tindak balas untuk penjagaan dan perlindungan," katanya

Sementara itu, Pereira menegaskan segala bentuk tindakan keras terhadap pelarian atau pendatang akhirnya akan mendorong mereka untuk bersembunyi dan memberi kesan kepada Program Imunisasi Nasional Covid-19.

Sebelum PKP dilaksanakan awal bulan ini, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin telah mengumumkan akan bertindak tegas terhadap pendatang di negara ini dan ia mendapat bantahan daripada pelbagai kumpulan hak asasi.

Bagaimanapun dia menyokong operasi itu sebagai usaha kerajaan untuk melindungi rakyat Malaysia dan "membantu pendatang tanpa dokumen" untuk mendapat vaksin.

Hamzah menjamin pendatang tanpa dokumen akan diberi pilihan untuk dihantar pulang atau disahkan di bawah program rekalibrasi tenaga kerja.

[Baca berita penuh]