Loke: Bagaimana menteri berdepan mangsa, tanpa jelaskan punca nahas LRT
Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke menggesa Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong untuk mendedahkan kepada umum laporan penuh siasatan nahas LRT 24 Mei.
Loke berkata maklumat kurang lengkap yang diberikan oleh Wee setakat ini hanya akan mengundang lebih banyak pertanyaan dan spekulasi mengenai punca kejadian itu, yang menghakis keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan LRT.
"Saya juga tidak boleh membayangkan bagaimana seorang menteri boleh berdepan dengan mangsa-mangsa yang terlibat serta keluarga mereka tanpa menjelaskan apakah sebenarnya yang mengakibatkan nahas tersebut yang telah membawa cedera dan kesengsaraan kepada mereka," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Kata Loke yang juga bekas menteri pengangkutan kerajaan patut memberi penjelasan yang setelus mungkin kepada rakyat.
"Sekiranya saya yang mengetuai kementerian sudah tentu saya pastikan Laporan Lengkap Penyiasatan Nahas LRT 24 Mei 2021 diumumkan serta-merta selepas dibentang ke jemaah menteri," katanya.
Laporan oleh jawatankuasa siasatan yang dianggotai sembilan ahli dan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan itu telah diserahkan kepada kabinet pada Rabu.
Ringkasan hasil siasatan jawatankuasa itu diumumkan Wee semalam mencadangkan terdapat 'pelanggaran SOP'.
Wee menegaskan objektif siasatan Kementerian Pengangkutan (MOT) ini adalah bagi menentukan hal keadaan dan punca sebenar perlanggaran dengan tujuan mengelakkan insiden yang sama berlaku di masa hadapan serta menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam.
"Ia tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti terhadap mana-mana pihak," jelasnya pada Khamis.
Kemalangan itu melibatkan sebuah tren yang sedang diuji di landasan pada sekitar jam 8.30 malam dengan sebuah tren lain membawa 213 penumpang. Beberapa penumpang cedera parah selepas nahas itu.
Menurut Wee, "kedua-dua hostler (pemandu) dan pengawal (controller) di pusat kawasalan operasi (OCC) telah mengabaikan SOP kritikal tertentu."
"Ini secara tidak sengaja mengakibatkan Tren 40 bergerak secara manual ke arah Gombak (arah utara) dan bukannya ke selatan menuju ke depoh.
"Pada masa sama, Tren 81 sedang ditahan di stesen KLCC dan meletakkan keadaan status Manual Route Reservation (MRR) iaitu perlindungan kepada Tren 40 sebelum dapat dikendalikan secara (Automatic Train Operation - ATO).
"Namun, Tren 81 dilepaskan untuk melakukan perjalanan meninggalkan stesen KLCC menuju ke stesen Kampung Baru tanpa mendapat pengesahan tepat yang mengatakan Tren 40 telah diset semula kepada ATO.
"Keadaan ini seterusnya mengakibatkan berlaku pertembungan antara Tren 40 dan Tren 81," kata Wee.
Pun begitu, Loke hari ini menuntut Wee menjelaskan perincian pelanggaran prosedur itu dan kenapa pemandu dan kakitangan di OCC "mengabaikan SOP kritikal."
Kata Loke yang juga ahli parlimen Seremban, ahli jawatankuasa siasatan itu sepatutnya hadir bersama pada sidang akhbar Wee semalam untuk menjawab soalan.
"Tidak seorang pun pakar-pakar yang terlibat dijemput menghadiri sidang media MOT petang semalam.
"Zaman ini kita tidak boleh menghalang orang ramai daripada bertanya soalan dan menimbulkan pelbagai hipotesis dan kemungkinan," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai