Keluarga, rakan mangsa bunuh nak mogok lapar jika gagal temui DPP
Keluarga dan rakan kepada mendiang T Nhaveen - yang didakwa menjadi mangsa pembunuhan - akan mogok lapar sekiranya gagal untuk mengadakan pertemuan dengan pihak pendakwa kes itu sebelum 22 Jun, kata aktivis Arun Dorasamy.
"Ibu Nhaveen iaitu Shanti Dorairaj, rakannya Previin, dan saya akan melakukan mogok lapar sehingga pendakwa raya bersedia bertemu dengan kami," kata Arun, yang merupakan pengerusi Nhaveen Action & Investigation League (Nail).
Sementara itu, dia menegaskan tindakan tersebut bukan untuk mengganggu kes mahkamah atau menakut-nakutkan timbalan pendakwa raya (DPP).
“Dengan rasa rendah hati, ini merupakan mesej kami kepada DPP. Kami perlu bertemu dengannya sebelum 22 Jun, iaitu seminggu sebelum tarikh perbicaraan berikutnya."
“Pertemuan itu tidak semestinya dilakukan secara bersemuka, ia boleh dilakukan secara maya."
"Tetapi kita perlu mengadakan komunikasi secara langsung dengan DPP dan pejabat Peguam Negara Pulau Pinang kerana kita ada kebimbangan, perkara dan beberapa pertanyaan yang ingin kita kemukakan kepada DPP," kata Arun.
Dia menambah rakan dan ahli keluarga mendiang berharap dapat bekerjasama dengan pihak pendakwaan. Pun begitu, mereka tidak mempunyai pilihan lain apabila permintaan untuk pertemuan itu tidak dilayan.
Arun berkata sepucuk surat telah ditulis kepada Pejabat Peguam Negara Pulau Pinang dan DPP Mohd Amril Johari pada akhir Mei, tetapi tiada sebarang pertemuan yang diatur.
Kemudian, sepucuk surat lagi dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) minggu lalu. Arun berkata AGC sedang menunggu maklumat dari pejabatnya di Pulau Pinang sebelum mengambil tindakan selanjutnya, sebagai respons kepada suratnya itu.
Isytihar ulang tahun kematian hari antibuli
Selasa depan (15 Jun) merupakan ulang tahun kematian Nhaveen yang keempat.
Arun berkata Nail akan melancarkan kempen di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran mengenai masalah buli, termasuk mengisytiharkan 15 Jun sebagai hari antibuli.
Nhaveen dilaporkan diganggu dan diserang oleh beberapa remaja, termasuk bekas rakan sekolahnya dalam perjalanan pulang bersama rakannya T Previin pada malam 9 Jun 2017.
Nhaveen diculik, manakala Previn melarikan diri dan pergi ke rumah Nhaveen untuk mendapatkan bantuan.
Nhaveen kemudian ditemui dengan kecederaan serius pada keesokan harinya. Setelah dihantar ke hospital untuk rawatan kecemasan, dia meninggal dunia pada 15 Jun 2017.
Empat suspek didakwa melakukan pembunuhan, dua tertuduh berusia bawah umur pada masa kejadian.
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memulakan perbicaraan pada 5 Mei tahun ini, dan perbicaraan dijadualkan akan disambung pada 29, 30 Jun, dan 5 dan 6 Ogos.
Bulan lalu, Previin, ibu Nhaveen Shanti dan abang kepada Shanti iaitu Karunagaran membuat empat laporan polis, untuk membuktikan bahawa lebih daripada empat orang terlibat dalam insiden itu.
Antara lain, laporan Previin mendakwa kira-kira 20 orang dipercayai terlibat dalam kes tersebut. Previin juga dilaporkan menerima ugutan bunuh dan telah meninggalkan Pulau Pinang atas alasan keselamatan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai