'Semak fakta kenapa Dr M letak jawatan'
Peguam Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Rafique Rashid Ali berkata Ahli Parlimen daripada PKR, Chang Lih Kang perlu semak semula fakta dan bersikap jujur berhubung tindakan Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada tahun lalu.
Rafique membangkitkan bagaimana Langkah Sheraton pada Februari 2020 menyebabkan kerusi Parlimen yang dimiliki PH berkurang daripada 140 kepada 108.
Dia berkata berdasarkan Perkara 43(2) dan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 43(2) menyebut Yang di-Pertuan Agong perlu melantik perdana menteri di kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mendapat kepercayaan majoriti.
Perkara 43(4) pula menyatakan jika perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti, dia hendaklah eletakkan jawatan kecuali - di atas permintaannya - Parlimen dibubarkan oleh Agong.
“Jadi Tun (bertindak dengan) betul dari segi undang-undang dan perlembagaan dalam peletakan jawatannya.
“Mengapa (perlu) meletakkan negara untuk melalui pilihan raya apabila kesilapan yang sebenar terletak kepada ahli-ahli parlimen tersebut dan dari PKR juga - iaitu mereka yang berpihak kepada (bekas timbalan presiden PKR) Azmin (Ali), yang mana seteru dengan (Presiden PKR) Anwar (Ibrahim).
“Jadi tolong dapatkan fakta yang betul dan bersikap jujur,” tegur Rafique kepada naib presiden PKR itu.
Semalam, Mahathir mendedahkan dia mencadangkan penubuhan kerajaan ala Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada tahun 1969 semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, isu siapa akan mengetuai Mageran tidak dibincangkan tetapi ahli parlimen Langkawi itu menawarkan bantuan jika dikehendaki kerajaan.
Susulan itu, Chang menerusi ciapan di Twitter mempersoalkan kenyataan itu dengan mendakwa Mahathir masih berhasrat mentadbir negara.
"Kalau Tun Mahathir masih berminat mentadbir negara, kenapa dia letak jawatan sebagai perdana menteri pada 24hb Feb 2020?" soalnya.
Untuk rekod Mahathir meletakkan jawatan pada 24 Feb tahun lalu selepas Bersatu bertindak keluar daripada PH.
Rafique berkata lagi, Chang seperti tidak memahami peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung peletakan jawatan perdana menteri.
Dia juga meningatkan keputusan Majlis Presiden PH pada masa itu yang menurutnya memberi sokongan agar Mahathir kekal sebagai PM.
“Kemudian Langkah Sheraton berlaku, disebabkan oleh 10 ahli parlimen PKR yang diketuai oleh Azmin. Sudah tentu Muhyiddin juga terlibat dengan membawa Bersatu keluar dari gabungan PH,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai