Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah ketepi saman LFL berkaitan menteri dalam negeri S'pura

Kerajaan Malaysia berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan dua saman daripada Lawyers for Liberty (LFL) berkaitan usaha Singapura menguatkuasa undang-undang anti berita tidak benar republik itu terhadap kumpulan guaman prohak asasi manusia tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ahmad Kamal Mohd Shahid membenarkan permohonan penolakan terhadap dua saman pemula LFL petang ini.

Satu saman mensasarkan Menteri Dalam Negeri Singapura K Shanmugam sebagai defendan, manakala tindakan undang-undang kedua menyenaraikan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Peguam bagi LFL, Shahid Adli Kamarudin mengesahkan keputusan mahkamah ketika dihubungi Malaysiakini dan dia memaklumkan Ahmad Kamal menyampaikan keputusannya melalui e-mel kepada pihak berkaitan hari ini.

"Pembatalan dibenarkan oleh hakim," kata peguam itu, sambil menambahkan dia akan menunggu arahan selanjutnya daripada LFL.

LFL mengemukakan tuntutannya terhadap Shanmugam pada 24 Januari tahun lalu atas cubaan Singapura menguatkuasakan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) terhadap kumpulan itu.

Tuntutan itu berhubung arahan Shanmugam supaya LFL mengaku membuat hantaran palsu di blognya.

Kemudian, pada 18 September tahun lalu, LFL mengemukakan saman pemula terhadap kerajaan Malaysia atas tuduhan gagal menegakkan kebebasan bersuara kumpulan itu daripada diceroboh undang-undang berita "anti berita tindak benar" Singapura.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan kerajaan Malaysia untuk campur tangan dalam tuntutan saman LFL terhadap Shanmugam, manakala (kerajaan Malaysia) disenaraikan sebagai defendan dalam saman kedua LFL.

Dilaporkan tuntutan saman LFL terhadap Shanmugam antara lain memohon perisytiharan mahkamah bahawa arahan Shanmugam, yang dibuat bawah undang-undang berita palsu Singapura yang kontroversial itu, adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan terhadap plaintif.

Saman terhadap kerajaan Malaysia (yang dibatalkan itu) pula kerana gagal mempertahankan hak asasi plantif untuk kebebasan bersuara daripada diganggu oleh undang-undang berita palsu republik itu.

[Baca berita penuh]