Kes baru, kematian dari kluster perayaan membimbangkan
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganggap peningkatan kes baru dan kadar kematian pesakit Covid-19 yang ada kaitan dengan kluster perayaan sebagai membimbangkan.
Ketua Pengarah KKM, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata hal itu kerana kes baru dan kematian yang berpunca daripada dua sambutan perayaan berkenaan terjadi dalam tempoh yang singkat.
"Sekiranya masyarakat masih lagi leka serta tidak mengambil iktibar daripada aktiviti kunjung-mengunjung dan rentas negeri semasa musim perayaan tersebut, tidak mustahil peningkatan kes secara mendadak berulang di negara kita," katanya dalam kenyataan media petang ini.
Menurut Noor Hisham antara tempoh 13 Mei sehingga 10 Jun lalu terdapat 60 kluster perayaan dilaporkan membabitkan 58 kluster sempena Aidilfitri manakala selebinya daripada perayaan Hari Gawai.
Katanya seramai 13,023 individu disaring daripada kluster terbabit sebanyak 3,511 kes dikenal pasti dan menjadikan kadar positif sebanyak 27.0 peratus.
"Daripada 3,511 kes tersebut, 20 kematian dilaporkan dan sehingga kini 11 kes masih dalam rawatan di unit rawatan rapi (ICU)," katanya.
Menurut Noor Hisham negeri tertinggi mencatatkan bilangan kluster perayaan ialah Sabah dengan 11 kluster atau 18.3 peratus, Sarawak (8 kluster atau 13.3 peratus) dan Kedah (7 kluster atau 11.7 peratus).
"Kita wajar mencontohi negara-negara jiran yang telah berjaya mengawal situasi pandemik Covid-19 dengan baik di negara mereka.
"Mereka membuktikan dengan kerjasama semua pihak dan kepatuhan yang tinggi kepada prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan, fungsi kehidupan kepada normal mampu menjadi kenyataan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai